Categories
SELANGOR

Adun Bangi: ‘Bangi Selamat’ demi kesejahteraan penduduk

Oleh: Naeem Raffi

BANDAR BARU BANGI 3 APRIL: Dalam meniti arus kemodenan, Bangi tidak terlepas dari tempias kepincangan institusi kejiranan yang secara tidak langsung membuka ruang kepada penjenayah melebarkan aktiviti mereka ke kawasan kediaman.

Menyedari akan perkara itu, ADUN Bangi, Shafie Ngah tampil dengan program ‘Bangi Selamat’ sebagai inisiatif mengaktifkan kembali sikap kepedulian sesama jiran di DUN itu.

shafie ngah“Bangi adalah kawasan padat, tetapi keselamatan kurang kerana kurangnya cakna dan sikap ambil tahu sesama jiran tetangga.

“Keadaan ini yang pencuri suka dan mereka tidak akan melepaskan peluang ini. Sebab itu kita pupuk sikap prihatin dan kepedulian antara jiran,” katanya.

Menurutnya, usaha mengenali jiran terdekat, berhubung rapat dengan ketua komuniti, ketua kampung atau ahli jawatankuasa kawasan adalah kunci utama mengembalikan nilai kejiranan yang selama ini luntur.

Bagi mencapai matlamat tersebut, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Bangi memberi taklimat keselamatan, mengedarkan risalah dan mengantung kain rentang sebagai usaha mendidik masyarakat.

“Semua usaha ini adalah untuk memastikan setiap jiran itu kenal siapa jiran mereka, ke mana dan sehingga bila jirannya tinggalkan rumah dan siapa anak-anak jiran mereka.

“Dengan aktifnya budaya ini, keselamatan di kawasan kediaman dapat dipertingkatkan,” katanya.

Shafie berkata, pihaknya juga menjalinkan kerjasama dengan Polis bagi membincangkan bentuk usaha yang boleh diambil bagi mendidik dan memperkasa persatuan penduduk untuk bersama-sama pihak berkuasa itu memerangi jenayah.

“Sejak bulan puasa yang lalu, kami berjaya menjalinkan kerjasama dengan PDRM.

“Menerusi kerjasama itu, Polis menghantar anggota mereka secara berjadual untuk memberi taklimat keselamatan diseluruh masjid di DUN ini,” jelasnya.

Bagi mengaktifkan persatuan penduduk, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Bangi juga menyalurkan bantuan kewangan RM500 kepada persatuan penduduk.

Antara lain, program Bangi Selamat juga mensasarkan pengurangan kadar kemalangan jalan raya di DUN itu.

“Ini antara cabang dalam program Bangi Sihat, dimana menerusinya PKM Bangi akan melaksanakan kempen jalan raya, pendidikan di sekolah dan institusi masyarakat serta penguatkuasaan tentang keselamatan jalan raya oleh pihak berkuasa dan sukarelawan,” jelasnya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.