Categories
SELANGOR

ADUN Teratai tidak akan respon perkara remeh

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 29 APRIL: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Tiew Way Keng menegaskan tidak akan membuang masa melayan sebarang tohmahan tidak berasas daripada Jenice Lee yang mempertikaikan kredibiliti dan prestasi beliau sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

Way Keng berkata, beliau lebih rela menggunakan masa terhad yang dimiliki untuk kepentingan rakyat dan menyelesaikan sebarang masalah yang timbul di DUN berkenaan.

Katanya, Jenice yang juga bekas ADUN kawasan itu harus lebih memahami skop kerja sebagai wakil rakyat dan bukannya memburukkan namanya.

“Ini kali terakhir saya respon untuk perkara kecil yang tidak membabitkan kepentingan rakyat.

m_3tiew“Saya memang mengalu-alukan sebarang cadangan daripada semua pihak untuk menambah baik kawasan DUN Teratai tetapi bukan buat tohmahan tidak berasas,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Mengulas dakwaan Jenice bahawa beliau tidak membawa isu rakyat ke Sidang DUN Selangor untuk dibahaskan, Way Keng menegaskan setiap ADUN hanya boleh mengemukakan 20 soalan sahaja pada setiap sesi.

Katanya, beliau adalah satu-satunya wakil rakyat yang memenuhi kuota atau jumlah soalan yang ditetapkan ketika sidang DUN pertengahan April lalu.

“Kita mempunyai peraturan tetap dewan iaitu setiap ADUN boleh kemukakan 20 soalan dan saya sudah penuhkan kuota itu dengan membawa pelbagai isu rakyat.

Jenice Lee 1“Berhubung dakwaannya bahawa saya tidak fasih berbahasa Melayu, saya ingin tegaskan bahawa saya adalah seorang peguam yang tamat pengajian di Universiti Malaya, jadi mustahil tidak tahu berbahasa Melayu dengan baik,” katanya.

Jenice sebelum ini mendakwa Way Keng tidak membuat sebarang persediaan dan kajian mendalam ketika sidang DUN Selangor yang lalu.

Katanya, prestasi Way Keng yang dilihat sangat mengecewakan ketika sidang Dun Selangor baru-baru ini seharusnya diberi perhatian serius memandangkan beliau menjadi wakil penduduk.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.