Categories
SELANGOR

Rumah mampu milik: DPPM terkejut besar respon positif MB

Oleh: NAZLI IBRAHIM

DAMANSARA, 16 APR: Delegasi Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) terharu dengan kesungguhan Kerajaan Selangor membangunkan rumah mampu milik.

Presidennya, Datuk Syed Ali Alattas berkata, kesungguhan itu dapat dilihat ketika beliau dan beberapa pegawai kanan DPMM bertemu Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali di Bangunan SUK, Shah Alam, pada 27 Febuari lalu.

Kunjungan itu diadakan bagi membincangkan permohonan DPMM untuk membina 880 rumah mampu milik di Sungai Merab berhampiran Putrajaya.

rumah mampu milik iklan 01“Saya, setiausaha agung dan bendahari dah jumpa dia. Bukan main bagus, luar biasa sampai arkitek kami terperanjat hingga mulut ternganga.

“Bila arkitek kita tanya, biasanya tanah seekar dapat 16 rumah sahaja. Kita ada 11 ekar sahaja dan arkitek cakap nak minta kepadatan 80 unit  tetapi MB kasi 120 unit. Awak boleh kasi?

“Arkitek kita kata lagi, mahal nak bayar caj pembangunan. MB jawab, tak payah bayar sebab buat rumah untuk rakyat, beliau tak caj. Macam-macam dikasi,” katanya dalam sidang media di Bangunan DPMM, di Bukit Damansara, di sini, hari ini.

azminSyed Ali turut terkejut apabila permohonan pembinaan projek itu mendapat kelulusan dalam masa singkat.

Katanya, DPMM pada awalnya berhasrat menjual unit kediaman projek terbabit pada harga kos tetapi mengubah pendirian untuk mengambil sedikit keuntungan sebagai ‘hadiah saguhati’ bagi disalurkan kepada projek rumah mampu milik lain pada masa hadapan.

Pembinaan 880 unit rumah mampu milik di Sungai Merab adalah sebahagian rancangan DPMM untuk membina 5,000  unit rumah dalam tempoh lima tahun.

-NFN-

Categories
SELANGOR

ADUN Teratai tidak akan respon perkara remeh

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 29 APRIL: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Tiew Way Keng menegaskan tidak akan membuang masa melayan sebarang tohmahan tidak berasas daripada Jenice Lee yang mempertikaikan kredibiliti dan prestasi beliau sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

Way Keng berkata, beliau lebih rela menggunakan masa terhad yang dimiliki untuk kepentingan rakyat dan menyelesaikan sebarang masalah yang timbul di DUN berkenaan.

Katanya, Jenice yang juga bekas ADUN kawasan itu harus lebih memahami skop kerja sebagai wakil rakyat dan bukannya memburukkan namanya.

“Ini kali terakhir saya respon untuk perkara kecil yang tidak membabitkan kepentingan rakyat.

m_3tiew“Saya memang mengalu-alukan sebarang cadangan daripada semua pihak untuk menambah baik kawasan DUN Teratai tetapi bukan buat tohmahan tidak berasas,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Mengulas dakwaan Jenice bahawa beliau tidak membawa isu rakyat ke Sidang DUN Selangor untuk dibahaskan, Way Keng menegaskan setiap ADUN hanya boleh mengemukakan 20 soalan sahaja pada setiap sesi.

Katanya, beliau adalah satu-satunya wakil rakyat yang memenuhi kuota atau jumlah soalan yang ditetapkan ketika sidang DUN pertengahan April lalu.

“Kita mempunyai peraturan tetap dewan iaitu setiap ADUN boleh kemukakan 20 soalan dan saya sudah penuhkan kuota itu dengan membawa pelbagai isu rakyat.

Jenice Lee 1“Berhubung dakwaannya bahawa saya tidak fasih berbahasa Melayu, saya ingin tegaskan bahawa saya adalah seorang peguam yang tamat pengajian di Universiti Malaya, jadi mustahil tidak tahu berbahasa Melayu dengan baik,” katanya.

Jenice sebelum ini mendakwa Way Keng tidak membuat sebarang persediaan dan kajian mendalam ketika sidang DUN Selangor yang lalu.

Katanya, prestasi Way Keng yang dilihat sangat mengecewakan ketika sidang Dun Selangor baru-baru ini seharusnya diberi perhatian serius memandangkan beliau menjadi wakil penduduk.

-NFN-