Categories
NASIONAL

Akar umbi PKR sambut baik Khalid tanding Timbalan Presiden

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 10 APRIL: Anggota PKR di peringkat akar umbi menganggap keputusan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden PKR sememangnya sesuatu yang dinantikan.

Pekerja swasta, Ahmad Borhan, 39 tahun, berkata rekod cemerlang selama enam tahun sebagai Menteri Besar yang dimiliki Abdul Khalid mampu memberi penambahbaikan pentadbiran parti.

pemilihan-2014“Satu Malaysia sudah tahu pencapaian Tan Sri Khalid sebagai MB Selangor dengan rekod bersih dan telus.

“Beliau mampu memikul tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden sekiranya diberi peluang,” kata ahli PKR terbabit ketika ditemui Selangor Kini di Selayang.

borhanKetika menjawab satu soalan Ahmad berkata walaupun Abdul Khalid agak lewat menyertai PKR berbanding pesaing jawatan sama tetapi perkara itu bukanlah isu utama.

“Tan Sri Khalid saya lihat setia dengan perjuangan reformasi walaupun kadang-kala dikritik.

“Lagipun adakah kesetiaan boleh pastikan integriti dan ketelusan seseorang?” Kata Borhan.

NasiruddinNasiruddin Mohamed, 54, ahli PKR Cabang Sepang pula memberitahu beliau dan rakan anggota Cabang Sepang akan memberikan sokongan seratus peratus terhadap Abdul Khalid.

“Beliau terbukti antara pemimpin yang mempunyai rekod terbaik dalam mengurus tadbir sesebuah kerajaan.

“Ahli PKR patut manfaatkan ‘aset’ bernilai ini. Ketidak beradaan Tan Sri Khalid dalam kepimpinan PKR merugikan PKR sendiri,” kata Nasiruddin.

GaryPeniaga, Gary Lim, 32 pula memberitahu Abdul Khalid berjaya membuktikan kemampuan beliau mengurus kewangan negeri dengan telus tanpa pembaziran dan ketirisan.

“Dia cekap urus kewangan negeri, bukan cincai-cincai, tidak membazir duit rakyat.

“Orang seperti ini ada kepakaran tak boleh disia-siakan dan memang patut pegang jawatan penting dalam parti,” kata Gary yang merupakan ahli PKR di Shah Alam itu.

Dalam Pemilihan PKR 2014 kali ini Abdul Khalid yang satu-satunya Menteri Besar dari PKR menawarkan diri sebagai calon Timbalan Presiden.

Beliau sebagai calon nombor 2 akan berhadapan dengan lima calon lain termasuk penyandang jawatan, Mohamed Azmin Ali.

Abdul Khalid dalam kempen pemilihan kali ini menawarkan slogan ‘Menuju reformasi tulen – integriti, telus dan bersih’.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.