Categories
SELANGOR

Setinggan Seri Temenggung setuju tandatangan akujanji pindah kediaman

Oleh: NORHAYATI UMOR

BATU CAVES, 5 APRIL: Seramai 29 keluarga daripada setinggan Kampung Seri Temenggung, di sini, akhirnya bersetuju untuk menandatangani akujanji pemindahan kediaman yang ditawarkan Kerajaan Negeri.

Mereka adalah antara 230 keluarga kampung terbabit yang sebelum ini ditawarkan berpindah ke Rumah Pangsa Kos Rendah Taman Selayang Mulia, pada 2008.

Namun, hanya 201 keluarga sahaja yang bersetuju berpindah dan menerima tawaran pembelian rumah berkenaan dengan harga RM35,000.

IMG_8254aExco Perumahan,Pengurusan Bangunan dan Setinggan serta Peneroka Bandar, Iskandar Samad, berkata kerja pembinaan Rumah Selangorku Idaman Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di tapak kampung terbabit akan dapat dijalankan segera dengan penyelesaian itu.

Katanya, Kerajaan Negeri prihatin dengan masalah rakyat terutama pemindahan itu berlarutan sejak 2006 apabila penduduk berkenaan tidak bersetuju dengan cadangan atau tawaran daripada kpentadbiran sebelum ini.

“Inisiatif ini adalah usaha daripada semua pihak dan saya ingin menasihati penduduk supaya tidak bertindak menjual rumah yang bakal siap tidak lama lagi kerana nilai pasarannya yang terus meningkat.

“Kita berjaya menghasilkan satu penyelesaian yang lebih baik dan kreatif berbanding kerajaan terdahulu,” katanya selepas majlis menandatangani akujanji berkenaan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pemangku Pengurus Besar PKNS, Azlan Md Alifiah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Hasbullah Ridzwan dan ADUN Batu Caves, Amiruddin Shaari.

IMG_8390aProjek Pangsapuri 418 unit 12 tingkat itu dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air dengan keluasan 850 kaki persegi serta kemasan lantai jubin seramik dan akan didirikan di tapak yang berkeluasan 4.34 hektar termasuk 42 unit kedai juga pejabat.

Projek itu juga menetapkan 10 unit khas untuk orang kelainan upaya (OKU) dan kemudahan lain antaranya dewan komuniti, surau, bilik bacaan, perpustakaan, tadika dan gelanggang futsal.

Pembinaan dijangka akan siap dalam tempoh dua tahun akan datang dengan kos pembinaan yang dianggarkan RM141.9 juta.

Penduduk berkenaan turut mendapat pampasan RM13,000, manakala rumah itu ditawarkan pada harga RM65,000 berbanding harga pasaran sebanyak RM180,000.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.