Categories
NASIONAL

Scorpene: Konon boleh guna dalam operasi SAR, kini Menteri kata tidak sesuai

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 APR: Kenyataan yang dikeluarkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menyebut kapal selam Scorpene dibeli Kerajaan mempunyai kemampuan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) hanya alasan untuk menghalalkan pembaziran serta menutup skandal rasuah pembeliannya, pada 3 September 2009.

Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin, berkata kenyataan itu jelas dilaporkan dalam laporan Agence France-Presse (AFP) bertarikh sama menyebut “Pegawai-pegawai Tentera Laut berkata kapal selam itu akan berada di negeri Sabah, di pulau Borneo, yang mana ia akan menjalani penalaan teliti sebelum boleh digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat.”

“Apabila kes ini muncul beberapa negara menghantar kapal selam untuk operasi SAR. Saya dan juga beberapa pimpinan politik seperti Lim Kit Siang membangkitkan persoalan kenapa tidak digunakan kapal selam negara yang dibeli dengan harga amat tidak munasabah tingginya.

Chegubard“Menteri menjawab Scorpene milik negara tidak sesuai untuk operasi SAR,” katanya dalam kenyataan media.

Terdahulu, ketika tercetusnya isu Scorpene bernilai RM7 bilion itu, pemimpin Barisan Nasional (BN) menggunakan pelbagai alasan bagi menutup skandal pembelian kapal selam yang dianggap terlalu mahal jika dibandingkan kapal selam negara lain yang mempunyai spefikasi sama.

Skandal rasuah itu juga dikatakan mempunyai kaitan dengan pembunuhan jurubahasa dari Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang juga kekasih kepada rakan karib Perdana Menteri, Abdul Razak Baginda.

Dalam pembelian itu, Abdul Razak Baginda juga memperoleh komisyen bernilai RM540 juta melalui syarikat Perimekar Sdn Bhd.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.