Categories
NASIONAL

Himpunan besar-besaran 1 Mei, bantah GST, TPPA dan kenaikan harga

Oleh: Lizawati Madfa

SHAH ALAM 4 APRIL : Pakatan Rakyat (PR) menyeru semua untuk hadir menyertai satu perhimpunan besar-besaran pada 1 Mei nanti bagi menyuarakan bantahan ke atas kerajaan Umno-BN.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, berkata PR juga akan mengerahkan seluruh ahli dan penyokong untuk menghadiri perhimpunan anjuran badan bukan kerajaan (NGO), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

bantah1Katanya, kehadiran semua penting bagi memberi mesej bantahan atas pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dan kenaikan harga barang.

“PR akan menyertai himpunan anjuran NGO itu sebagai meneruskan usaha kita sejak Januari lalu dengan jelajah bantahan (GST, TPPA dan kenaikan harga barang).

“Kita akan kumpulkan seramai mungkin, ratusan ribu (untuk himpunan),” katanya dalam sidang media hari ini.

Sidang media yang diadakan di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur pagi tadi turut disertai Ahli Jawatankuasa PAS, Dr Dzulkefly Ahmad dan Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Melalui video rakaman di Harakahdaily, Tian Chua pula berkata himpunan kali ini penting bagi memberi amaran kepada Umno-BN untuk menguruskan wang rakyat dengan baik sekaligus mengurangkan bebanan rakyat yang semakin terhimpit.

“Selepas pilihan raya, sehingga kini kita tidak melihat apa-apa perkembangan atau usaha Kerajaan Pusat untuk membantu meningkatkan ekonomi rakyat untuk seimbangkan dengan kenaikan kos sara hidup.

“Sekarang ini pun, inflasi meningkat, hutang isi rumah juga meningkat, tetapi Kerajaan Pusat hanya buat lagu-lagu (GST) untuk siaran media dan tiada sebarang persiapan konkrit mengurangkan beban rakyat menjelang pelaksanaan GST setahun daripada sekarang,” katanya.

Himpunan pada awal Mei nanti dijangka bermula jam 2 petang hingga 5 petang serta disertai beberapa NGO lain.

Peserta akan berhimpun di beberapa lokasi seperi di Masjid Negara, Sogo, Dataran Maybank dan Brickfield sebelum berarak ke Dataran Merdeka.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.