Categories
SELANGOR

Isu lukisan Pak Samad jadi iktibar, Kerajaan Negeri bayar segera

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 4 APRIL: Kerajaan Selangor akan mengambil iktibar daripada kelewatan pembayaran dua buah lukisan Sasterawan Negara, Tan Sri A Samad Said atau lebih sinonim dengan panggilan Pak Samad.

Exco Kebajikan Selangor, Rodziah Ismail yang bertanggungjawab menguruskan Majlis Anugerah Sasterawan Tamu menjelaskan, beliau sudah mengarahkan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) membuat pembayaran kepada Sasterawan Negara itu selepas menerima surat maklum balas, bertarikh 29 Januari 2013.

Rodziah yang juga Exco Kebudayaan ketika itu memaklumkan tidak tahu mengapa pembayaran berkenaan masih belum dibuat kerana semua perbincangan membabitkan harga lukisan dan bayaran diuruskan sendiri oleh PADAT dan beliau turut meminta pembayaran dilakukan melalui nota peringatan, bertarikh 31 Januari 2013.

rodziah pc green 20 jul 01Katanya, Kerajaan Negeri bersetuju dengan harga yang diminta Sasterawan Negara itu dan bersedia untuk membuat pembayaran, selain menyatakan pegawai PADAT yang boleh dihubungi untuk sebarang urusan.

“Di sini ada tidak kecekapan yang berlaku dan saya selaku individu yang membuat program terbabit walaupun secara tidak langsung tetap berkait dengan isu yang dibangkitkan. Saya mengambil tanggungjawab menyelesaikan isu ini sebaik mungkin.

“Saya bercakap kepada (Exco Kebudayaan) Ahmad Yunus Hairi supaya isu ini tidak lagi berbangkit. Ada yang membangkitkan kenapa lukisan ini mahal.

“Pada saya, itulah istimewanya sasterawan dan artis, nilai itu mereka yang tentukan berdasarkan penghayatan serta makna seni itu. Kami bersetuju untuk membuat pembayaran mengikut harga yang ditawarkan,” katanya dalam satu sidang media, di sini, hari ini.

Majlis Anugerah Sasterawan Tamu dianjurkan bagi menghargai jasa Pak Samad dan keberanian bersama rakyat sejagat yang menyaksikan beliau menerima Geran Berkarya berjumlah RM10,000 daripada Kerajaan Negeri dan dimasukkan ke dalam akaunnya, pada 5 Febuari 2013.

Dua lukisan Pak Samad dibeli menggunakan dana Kerajaan Selangor untuk dihadiahkan kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

samadSehubungan itu, Rodziah berkata, pembelian dua lukisan bernilai RM16,000 menggunakan duit Kerajaan Negeri tidak menjadi satu kesalahan kerana dibuat atas dasar Pak Samad sebagai individu yang diangkat menjadi Sasterawan Tamu Negeri Selangor.

Katanya, pemberian lukisan berkenaan kepada dua tokoh itu bukan dibuat atas dasar parti tetapi peranan mereka sebagai pemimpin Kerajaan Negeri.

“Boleh guna duit itu kerana pembelian dibuat atas dasar majlis membabitkan Kerajaan Negeri dan tetamu (sasterawan) yang dijemput. Tidak menjadi satu kesalahan,” katanya.

Mesyuarat Exco Kerajaan Selangor minggu ini membuat keputusan meluluskan pembayaran penuh dua lukisan Sasterawan Negara itu dan akan dilakukan secepat mungkin.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.