Categories
AGENDA NASIONAL

Rangka, tengkorak berusia 10,000 tahun ditemui di Bukit Keteri, Perlis

PADANG BESAR, 15 OKT: Jabatan Warisan Negara (JWN) akan menjalankan ekskavasi dan dokumentasi lukisan purba di Gua Semadong serta kerja-kerja penyelamatan tengkorak manusia yang ditemukan di Bukit Keteri, dekat sini.

Pesuruhjaya Warisan Mohd Azmi Mohd Yusof berkata ia susulan satu eksplorasi arkeologi dijalankan oleh JWN bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Persatuan Mendaki Negeri Perlis di kawasan berkenaan pada Julai tahun lepas.

“Eksplorasi ini bertujuan untuk menjalankan pendokumentasian dan inventori tapak bagi memperoleh data arkeologi terkini tapak, di samping mengeksplorasi dengan lebih lanjut sebarang kemungkinan jumpaan artifak yang masih belum diteroka oleh penyelidik terdahulu,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pengarah JWN berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Asmaiza Ahmad di kawasan penemuan tengkorak dan lukisan purba di Gua Semadong dan Bukit Keteri dekat sini, hari ini.

Rangka tengkorak, gigi dan tulang belakang manusia yang ditemui di Bukit Keteri dipamerkan kepada media pada 14 Oktober. Foto BERNAMA

Katanya, eksplorasi di Gua Semadong telah menemukan lukisan gua zaman proto sejarah yang mempunyai pengaruh Hindu-Buddha dianggarkan sekitar abad kelima hingga 10 masihi.

“Berdasarkan kajian lepas yang dibuat di sekitar gua di Perlis, serpihan rangka dan tengkorak yang dijumpai di Bukit Keteri pula boleh dianggarkan (berusia) sekitar 5,000 hingga 10,000 tahun lepas.

“Gua-gua di Perlis terutamanya di kawasan Bukit Chuping, Bukit Tunku Lembu, Bukit Ngulang, Bukit Kerengga dan Bukit Changkul dipercayai digunakan sebagai tapak penempatan dan pengebumian masyarakat paleolitik dan neolitik berdasarkan jumpaan artifak pelbagai jenis alat batu dan tembikar tanah,” katanya.

Sebahagian tulang manusia ditemui di Bukit Keteri pada 14 Oktober 2021. Foto BERNAMA

Mohd Azmi berkata kawasan itu bukan sahaja dipercayai didiami oleh masyarakat prasejarah, malah pernah dihuni masyarakat zaman proto sejarah yang mana artifak seperti ‘kalam semah’ (votive tablet) turut ditemukan di kawasan itu.

“Data arkeologi ini dapat menyokong dan menambah lagi data dibina sebelum ini, yang pada suatu ketika dahulu Perlis adalah laluan perdagangan dan jalan utama digunakan oleh masyarakat prasejarah, kemudiannya berevolusi dan berkembang daripada sudut sosio-budaya, ekonomi, sains dan teknologi ketika zaman proto sejarah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memohon agar orang ramai mematuhi perundangan Akta Warisan Kebangsaan 2005 (AWK 2005) (Akta 645) dengan melaporkan segera sebarang jumpaan bersejarah kepada Pegawai Daerah atau Pesuruhjaya Warisan seperti yang termaktub dalam Seksyen 47 AWK 2005.

— BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA PERSONALITI RENCANA

Artis zahir makanan jalanan kegemaran atas kanvas

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Penularan pandemik Covid-19 mengubah sebahagian besar cara hidup kita, baik di rumah mahupun semasa berada di luar, menyebabkan ada antara kita yang rindukan suasana pra-Covid-19.

Antaranya ialah kebebasan makan di luar, dan Malaysia yang disifatkan oleh pengunjung asing sebagai antara “syurga makanan”, kaya dengan pelbagai penganan yang boleh didapati hampir di mana-mana sahaja, dari gerai di tepi jalan hinggalah ke restoran terkemuka.

Bagi yang “hantu” makan, pastinya mereka merindukan kemeriahan pasar malam yang menjadi “lubuk” orang ramai mencari makanan kegemaran, atau sekadar lepak di warung tepi jalan yang namanya menjadi buah mulut orang. Namun, buat masa ini semua itu perlu ditangguhkan.

Tidak mahu suasana itu menjadi sekadar cebisan memori yang tersimpan dalam ingatannya, artis Lui Cheng Thak menggunakan olesan dan goresan warna untuk menzahirkan penganan kegemarannya di atas kanvas.

“Ramai yang merindukan masa-masa makan di luar, malah (sebelum ini) ada yang sanggup menjelajah ke negeri-negeri ‘memburu’ makanan yang enak, manakala rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara pula pasti merindui rasa asli makanan jalanan di tanah air,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Antara lukisan Lui Cheng Thak. Foto Facebook PINKGUY

Terkenal menerusi lukisan bangunan bersejarah, kebudayaan dan warisan, artis berusia 54 tahun itu menjadikan warna-warna makanan jalanan sebagai subjek pameran solo ke-11 beliau – ‘Colour of Taste’ bersama PINKGUY Gallery.

Warna berbeza untuk rasa berbeza

Mempamerkan 12 hasil seni cat minyak di atas kanvas linen bersaiz kecil, pameran dalam talian yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 29 Sept itu boleh diakses di www.pinkguygallery.com. Menurut Lui, pameran secara maya dengan galeri itu adalah yang pertama beliau sejak 2010.

Mengulas mengenai karyanya, pelukis kelahiran Negeri Sembilan itu berkata beliau menggunakan 12 warna dan teknik berbeza yang memberikan kesan visual berlainan berdasarkan tetapan pencahayaan yang menghasilkan tarikan tersendiri pada setiap karyanya.

“Ada 12 ‘cita rasa’ berbeza dan saya namakan setiap satu mengikut warna seperti ‘Blue’, ‘Turquoise, ‘Yellow Ochre’, ‘Cobalt Blue’, dan lain-lain.

“Kebanyakannya merupakan makanan jalanan kegemaran rakyat Malaysia seperti ‘nasi ayam periuk tanah, bak kut teh, char kuetiau, lemang, nasi lemak dan banyak lagi makanan popular dan ikonik Malaysia,” katanya.

“Sesetengah orang ingat saya hanya sekadar melukis bangunan warisan, pemandangan dan khalayak ramai, sebenarnya tidak, perkara paling penting ialah saya melukis masa, cita rasa dan perasaan.

“Saya gunakan kontras warna dan cahaya kerana bagi saya ‘perasaan’ dan ‘suasana’ yang lahir daripada sebuah lukisan bergantung pada ‘perasaan’ dan ‘cita rasa’, sepertimana cahaya dan bayang pada lukisan memberikan kesan yang berlainan,” jelas Lui, menambah sesebuah lukisan membawa makna yang berbeza jika dilihat pada waktu berbeza oleh orang berlainan.

Rasa cinta terhadap bangunan warisan dan kebudayaan

Mengulas lanjut, Lui berkata ideanya untuk menghasilkan koleksi itu datang semasa negara berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan yang memperkenalkan pelbagai tatacara operasi piawai (SOP) serta mengalami peningkatan kes Covid-19 pada penghujung 2020.

“Sebagai penggiat fotografi, saya mula merakam pemandangan menggunakan kamera ketika membeli makanan untuk dibawa pulang atau semasa berjalan di lorong-lorong yang mempunyai deretan warung.

“Saya kemudian melakar dan melukis imej yang dirakam itu menggunakan warna dan elemen saya sendiri bagi menggambarkan perasaan dan cita rasa saya bagi setiap makanan,” katanya.

Bagi Lui, makanan Malaysia merupakan sesuatu yang menarik, mengadunkan pelbagai rasa, bahan dan teknik yang mencerminkan kepelbagaian kaum yang membentuk rakyatnya .

“Ada pengaruh Cina dan India serta Melayu dan boleh mengelirukan, setidak-tidaknya pada peringkat awal. Itulah yang menjadikan Malaysia unik, bukan sahaja dari segi kebudayaan dan warisan tetapi juga makanan.

“Saya luahkan rasa cinta saya terhadap makanan Malaysia melalui lukisan,” katanya.

Perjalanan Lui dalam bidang kesenian bermula semasa beliau mengikuti program Diploma Seni dan Reka Bentuk di Kuala Lumpur College of Art pada 1987 selama tiga tahun.

Karya beliau kebanyakannya berkisar pada seni reka bentuk bangunan bersejarah di negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Melaka dan juga Kuala Lumpur, mengetengahkan keperluan pemeliharaan landskap bersejarah di tengah-tengah kepesatan pembangunan bandar raya.

Lui berkata beliau lazimnya meluangkan masa antara dua dan tiga minggu bagi setiap lukisan.

“Contohnya apabila saya melukis bangunan, saya perlu tahu sejarah bangunan tersebut seperti tarikh dibina dan fungsi bangunan, jadi saya perlu melawat bangunan itu,” katanya dan menjelaskan beliau turut meletakkan elemen beliau sendiri dalam karyanya.

Antara lukisan Lui Cheng Thak. Foto Facebook PINKGUY

Kerjasama dengan PINKGUY Gallery

Sementara itu, pemilik dan kurator PINKGUY Gallery Winson Loh berkata pameran tersebut adalah pameran solo ke-11 Lui bersama galeri berkenaan dan siri yang dipamerkan kali ini juga merupakan paling bermakna setakat ini.

Katanya semua lukisan dalam siri itu juga akan ditampilkan dalam kalendar 2022 bersaiz mega yang pertama galeri berkenaan yang akan diberi kepada pembeli karya Lui.

“Kami mengadakan pameran secara maya bagi memastikan peluang sama rata untuk semua pelawat melihat dan kemudian membeli karya seni tersebut tanpa membuat tempahan terlebih dahulu.

“Kesemua 12 lukisan terbabit telah terjual pada hari pertama pameran secara maya berlangsung,” katanya.

Loh turut mengagumi komitmen Lui dalam memastikan karyanya sempurna.

“Ketika semua 12 lukisannya dipamerkan di galeri, beliau perasan lapisan warna pada satu daripada karyanya bertajuk ‘Pink’ (menampilkan sate celup) tidak sempurna dan beliau terus membetulkan masalah itu.

“Itulah kelebihan pameran solo, beliau boleh terus menambah baik kekurangan kerana beliau berpeluang melihat kesemua lukisan pada masa yang sama.

“Komitmen terhadap hasil seninya antara sikap beliau yang saya senangi,” kata Loh.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lukisan wanita tular baru 20 peratus, MDKS arah siapkan segera

SHAH ALAM, 20 APRIL: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) mengarahkan pelukis menyiapkan segera lakaran berunsur sensitif di dinding Balai Seni Sasaran Kuala Selangor.

Yang dipertuanya berkata pihaknya memandang serius dakwaan pelayar media sosial mengenai gambar wanita yang tular di media sosial, semalam.

“Maklumat awal kita terima pada 7 malam, lukisan yang masih dalam 20 peratus proses lakaran itu mulai tular.

“Justeru, MDKS telah mengarahkan pelukis untuk menyiapkan bahagian sensitif dalam tempoh tiga jam. Kemudian kira-kira 10 malam lakaran tersebut telah 40 peratus siap,” kata Rahilah Rahmat dalam kenyataan.

Bagaimanapun, beliau berkata lukisan itu juga dijangka siap sepenuhnya sebelum atau pada 26 April ini.

“Saya mengingatkan kepada mana-mana penggiat seni untuk sentiasa berhati-hati dan menjaga sensitiviti budaya tempatan dalam penghasilan karya dan merujuk kepada MDKS terlebih dahulu,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Karya seni warnai ibu negara, penghargaan besar buat pelukis tempatan

KUALA LUMPUR, 27 DIS: “Bagi saya, semua orang boleh buat mural, cuma bagaimana mahu dapatkan standard agar karya kita menjadi perbualan orang ramai sekali gus menjadi tular di media sosial,” kata pelukis mural, Ruhizad Mohd Ali.

Ruhizad, 58, merupakan ‘tulang belakang’ atau ketua kumpulan yang bertanggungjawab melakar dan melukis mural di bawah projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sekitar ibu kota bagi menarik lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara menghargai lokasi terbiar.

Antara lokasi lukisan mural yang dihasilkan menerusi syarikat E&M Services itu meliputi kawasan Medan Pasar, River of Life di Masjid Jamek, Jalan Alor di Bukit Bintang, laluan Bukit Nanas di Jalan Ampang dan terbaru mewarnai kotak jana kuasa elektrik milik DBKL di sekitar ibu kota.

Menariknya, semua lokasi yang menampilkan karya seni jalanan itu menjadi tarikan terbaru buat mereka yang gemar berswafoto atau membidik gambar kenangan untuk dimuatkan dalam media sosial.

“Kami terharu apabila ia mendapat sambutan positif daripada pengunjung. Ia bukan sahaja ‘meriah’ dengan warna-warni tetapi juga buat mereka rasa lebih selamat apabila melalui sesuatu lorong di situ.

“Contohnya, lukisan mural di Jalan Alor Bukit Bintang yang suatu ketika dahulu menjadi lokasi hitam selain kotor dan busuk sekali gus menakutkan untuk dilalui,” katanya kepada Bernama.

Bercerita lanjut, Ruhizad yang berpengalaman hampir 30 tahun dalam bidang seni kreatif berkata segalanya memerlukan kreativiti dan pemikiran di luar kotak bagi menghasilkan sesuatu karya yang unik.

“Ia adalah projek seni yang besar dan tidak boleh dilakukan bersendirian. Jadi, saya ambil beberapa anak muda yang berpengalaman untuk sama-sama merealisasikan projek ini.

“Kami bantu DBKL menterjemahkan objektif mereka sebagai usaha mewarnai lorong dan bangunan terpilih di sekitar Kuala Lumpur. Alhamdulillah, setelah melihat hasilnya, DBKL berpuas hati,” katanya.

Pelukis-pelukis mural, Zaimuddin Aziz, 30, (kiri) dan Mahadi Ayob, 36, (kanan) sedang tekun menyiapkan lukisan mural yang memaparkan keindahan kehidupan Flora dan Fauna ketika tinjauan di sekitar ibu kota pada 4 Disember 2020. Foto: BERNAMA

Zaimuddin Aziz, 30, pelukis mural di bawah kendalian Ruhizad menyifatkan kepercayaan yang diberikan DBKL sebagai satu peluang keemasan buat anak-anak muda berkarya.

“Ia merupakan satu platform yang baik untuk pelukis mural mendapat pendedahan awal, sekali gus menimba ilmu daripada pelukis mural berpengalaman.

“Kita sebenarnya ramai artis seni yang berpotensi di negara ini tetapi tidak diberikan ruang dan peluang yang sepatutnya,” katanya yang terlibat sebagai pelukis sepenuh masa sejak 2015.

Pada masa sama, Zaimuddin percaya bidang ini mampu pergi lebih jauh kerana industri seni jalanan semakin mendapat tempat di hati masyarakat.

“Dalam bidang ini kita perlu bijak, malah ia juga mempunyai banyak cabang dan boleh diperluaskan mengikut kreativiti masing-masing,” kata lulusan jurusan Seni Halus dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini.

Sementara itu pengasas Bumblebee Consultancy Christine Ngh, berkata seni awam membantu pelbagai pihak bekerjasama dan mewujudkan projek yang bermakna.

Christine berkata sejak beberapa tahun kebelakangan ini, syarikatnya bekerjasama dengan DBKL untuk mengenal pasti bangunan yang memerlukan pengindahan atau penambahbaikan di kawasan berprofil tinggi di pusat bandar raya Kuala Lumpur seperti Bukit Bintang, Petaling Street dan Asian Heritage Row.

“Sebaik sahaja lokasi yang sesuai dikenal pasti, kami akan mula mencari pelukis, sekolah seni serta rakan korporat yang sesuai dan bersedia mengusahakan projek berkenaan.

“Pada masa yang sama, DBKL akan melibatkan pihak berkepentingan lain seperti pemilik bangunan, wakil kediaman tempatan, pihak berkuasa tempatan, jabatan utama dalam DBKL (bagi pembersihan, penyelenggaraan dan pemeriksaan kesihatan),” katanya.

Beliau berkata matlamat utama adalah untuk menjayakan projek itu dengan semua pihak berkongsi pemilikan, tanggungjawab dan kos serta mengangkat karya seni yang sesuai dan menarik untuk projek berkenaan.

“Saya berharap dapat terus bekerjasama dengan lebih banyak sektor awam untuk menjemput sektor swasta dan artis, dalam usaha menjadikan Malaysia lebih trendy dan tempat menarik untuk pencinta seni bandar.

“Ia juga untuk meletakkan nama Malaysia di dalam peta yang menawarkan banyak tempat artistik. Apabila lebih banyak pihak memiliki sesuatu projek, ia menjadi lebih bermakna dan skala yang lebih besar membolehkan lebih banyak projek dijalankan,” katanya.

Antara projek lukisan mural yang dihasilkan syarikatnya bersama DBKL dan pihak berkepentingan lain ialah Akid One: Street Artist & Muralist (Tun Razak Exchange), #MyKiehlsHeritage (L’Oreal dan Fritildea), #ChowKitMural, OutcastArt Malaysia (Fox TV, EscapeVA) dan KulSign Festival (Dulux Paint, AirAsia, Disney).

– BERNAMA

Categories
SENI

Karya anak seni dari luar negara ditambah

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 18 MEI: Galeri Shah Alam (GSA) akan menganjurkan lebih banyak pameran lukisan dan karya seni melalui hasil program kembara seni ke luar negara buat tatapan aktivis dan peminat seni, di Selangor.

Ahli Lembaga Amanah Yayasan Seni Selangor, Prof Dato’ Zahabuddin Raja Yaacob berkata, ia ekoran kejayaan penganjuran pameran Lakar Sa Pa di galeri itu, mulai 27 April hingga 14 Julai ini yang menghimpunkan sembilan pelukis terkenal, di Malaysia.

Katanya, sembilan pelukis dipilih menyertai Kembara Seni Antara Bangsa Hanoi dan Sa Pa, 14 hingga 19 September tahun lalu dan setiap daripada mereka perlu menghasilkan karya baagi tujuan pameran berkenaan.

IMG_1128“Ia pertama kali diadakan, kita bawa pelukis ke luar negara bagi menghasilkan karya mereka dan bakal diteruskan selepas ini dengan mencari tempat menarik di negara lain pula.

“Perkara ini juga mendapat persetujuan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, selaku Pengerusi GSA yang meminta ia diteruskan bagi menaikkan taraf seni di Selangor,” katanya selepas majlis perasmian pameran Lakar Sa Pa di sini, semalam.

Pameran itu dirasmikan budayawan, Tan Sri Kamarul Ariffin Mohamed Yassinn yang menyifatkan pameran itu akan memberi peluang kepada aktivis dan peminat seni berkongsi idea selain menarik minat pelancong ke Selangor.

“Kerajaan Negeri dan GSA akan sentiasa memberi peluang kepada pihak berkaitan bagi mengadakan pameran dan aktiviti seperti ini bagi meningkatkan lagi taraf serta hasil karya seni di Selangor juga negara,” katanya.

Lakar Sa Pa adalah pameran yang menghimpunkan lukisan dan karya seni sembilan pelukis dari pelbagai genre hasil pengalaman mereka meneroka daerah pergunungan tinggi di utara Vietnam iaitu Sa Pa.

Mereka adalah Zaim Durulaman, Azman Md Nor, Abdullah Jones, Rohaizad Shaari, Abd Rasid Yusof, Zaharin Mohammad, Abdullah Hamdan, Khairuklsani Ismail dan Raja Zahabuddin sendiri.

Categories
SELANGOR

Isu lukisan Pak Samad jadi iktibar, Kerajaan Negeri bayar segera

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 4 APRIL: Kerajaan Selangor akan mengambil iktibar daripada kelewatan pembayaran dua buah lukisan Sasterawan Negara, Tan Sri A Samad Said atau lebih sinonim dengan panggilan Pak Samad.

Exco Kebajikan Selangor, Rodziah Ismail yang bertanggungjawab menguruskan Majlis Anugerah Sasterawan Tamu menjelaskan, beliau sudah mengarahkan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) membuat pembayaran kepada Sasterawan Negara itu selepas menerima surat maklum balas, bertarikh 29 Januari 2013.

Rodziah yang juga Exco Kebudayaan ketika itu memaklumkan tidak tahu mengapa pembayaran berkenaan masih belum dibuat kerana semua perbincangan membabitkan harga lukisan dan bayaran diuruskan sendiri oleh PADAT dan beliau turut meminta pembayaran dilakukan melalui nota peringatan, bertarikh 31 Januari 2013.

rodziah pc green 20 jul 01Katanya, Kerajaan Negeri bersetuju dengan harga yang diminta Sasterawan Negara itu dan bersedia untuk membuat pembayaran, selain menyatakan pegawai PADAT yang boleh dihubungi untuk sebarang urusan.

“Di sini ada tidak kecekapan yang berlaku dan saya selaku individu yang membuat program terbabit walaupun secara tidak langsung tetap berkait dengan isu yang dibangkitkan. Saya mengambil tanggungjawab menyelesaikan isu ini sebaik mungkin.

“Saya bercakap kepada (Exco Kebudayaan) Ahmad Yunus Hairi supaya isu ini tidak lagi berbangkit. Ada yang membangkitkan kenapa lukisan ini mahal.

“Pada saya, itulah istimewanya sasterawan dan artis, nilai itu mereka yang tentukan berdasarkan penghayatan serta makna seni itu. Kami bersetuju untuk membuat pembayaran mengikut harga yang ditawarkan,” katanya dalam satu sidang media, di sini, hari ini.

Majlis Anugerah Sasterawan Tamu dianjurkan bagi menghargai jasa Pak Samad dan keberanian bersama rakyat sejagat yang menyaksikan beliau menerima Geran Berkarya berjumlah RM10,000 daripada Kerajaan Negeri dan dimasukkan ke dalam akaunnya, pada 5 Febuari 2013.

Dua lukisan Pak Samad dibeli menggunakan dana Kerajaan Selangor untuk dihadiahkan kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

samadSehubungan itu, Rodziah berkata, pembelian dua lukisan bernilai RM16,000 menggunakan duit Kerajaan Negeri tidak menjadi satu kesalahan kerana dibuat atas dasar Pak Samad sebagai individu yang diangkat menjadi Sasterawan Tamu Negeri Selangor.

Katanya, pemberian lukisan berkenaan kepada dua tokoh itu bukan dibuat atas dasar parti tetapi peranan mereka sebagai pemimpin Kerajaan Negeri.

“Boleh guna duit itu kerana pembelian dibuat atas dasar majlis membabitkan Kerajaan Negeri dan tetamu (sasterawan) yang dijemput. Tidak menjadi satu kesalahan,” katanya.

Mesyuarat Exco Kerajaan Selangor minggu ini membuat keputusan meluluskan pembayaran penuh dua lukisan Sasterawan Negara itu dan akan dilakukan secepat mungkin.

-NFN-