Oleh: Lizawati Madfa
SHAH ALAM 22 APRIL : Kerajaan Negeri sentiasa mendokong dan membiayai usaha memperkasakan perpustakaan untuk melahirkan tenaga kerja berilmu dan berkemahiran di masa hadapan.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tumpuan juga diberikan kepada usaha mempertingkat prasarana dan membaik pulih perpustakaan desa dengan konsep penjenamaan semula.
Katanya, masyarakat perlu menjadikan perpustakaan sebagai rumah kedua serta menjadikan amalan membaca sebagai rutin kewajipan.
“Kita perlu tingkatkan keupayaan berfikir kerana negara kini memasuki era industri perkhidmatan yang memerlukan pekerja yang berpengetahuan dan berkemahiran.
“Jadi, membaca adalah alat untuk meningkatkan ilmu pengetahuan, untuk menajamkan fikiran dan pemahaman berkaitan sesuatu perkara,” katanya dalam sidang media di sini.
Terdahulu, beliau merasmikan program ‘Jom Membaca 10 Minit’ yang turut dihadiri Exco Negeri, Dr. Halimah Ali dan Rodziah Ismail serta Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Muhamad.
Kempen Jom Membaca 10 Minit ini dilakukan secara serentak di seluruh 14 buah negeri di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak bermula jam 10 hingga 10.10 pagi.
Sebelum perasmian, Abdul Khalid bersama tetamu kehormat serta lebih 2,000 peserta lain turut meluangkan masa 10 minit bagi membaca bahan bacaan yang disediakan.
“Saya memang suka membaca, sebentar tadi saya juga sempat menghabiskan (bacaan) sebanyak 30 halaman muka surat.
“Saya juga baca cepat kerana dulu sewaktu belajar kurang duit, saya biasa singgah kedai buku untuk membaca cepat jadi dua kali pergi buku pun habis dibaca, tidak perlu beli,” katanya sewaktu ucapan perasmian.
Pada 2010, Kerajaan Negeri turut menganjurkan kempen membaca dengan konsep sama dan merekodkan penyertaan seramai 13,271 orang membaca selama 15 minit dalam satu majlis di persekitaran Tasik Shah Alam.
EZY