Oleh: AFEEQA AFEERA
SHAH ALAM 26 APRIL: Puncak Niaga Holdings Bhd didesak supaya bersikap telus kepada semua pemegang saham terutama golongan minoriti dalam syarikat konsesi terbabit berhubung urusan penstrukturan semula industri air yang akan dilaksanakan di Selangor.
Setiausaha Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti Puncak Niaga (PNMWSG), Ang Chin Hann, berkata sehingga kini lebih 100 pemegang saham minoriti dalam syarikat berkenaan masih tidak mengetahui status atau pulangan pelaburan yang bakal diterima.
Malah katanya kesemua pemegang saham minoriti juga tidak dimaklumkan mengenai jumlah aset dan ekuiti yang dimiliki dalam syarikat itu.
“Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Bhd, Tan Sri Rozali Ismail dan ahli lembaga pengarah perlu memaklumkan perkembangan terkini kepada semua pemegang saham.
“Ia termasuk pemegang saham minoriti supaya mereka dapat membuat pertimbangan dan keputusan dengan bijak di Mesyuarat Agung Luar Biasa kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di pejabat PNMWSG di Glenmarie Shah Alam, di sini hari ini.
Ang berkata Ahli Lembaga Pengarah juga diingatkan mempertimbangkan serta meneliti tawaran Kerajaan Selangor seterusnya mencari penyelesaian terbaik untuk dikemukakan kepada pemegang saham dalam hal membabitkan pengambil alihan syarikat konsesi itu.
“Pihak Lembaga Pengarah harus melindungi kepetingan para pemegang saham, maka segala urusan dengan kerajaan pusat dan kerajaan negeri mesti dikaji daripada sudut perniagaan memandangkan ia tersenarai sebagai syarikat awam,” katanya.
Dalam pada itu, Ang turut menyarankan Puncak Niaga supaya mendapatkan khidmat profesional dari segi perundangan serta penasihat bebas untuk memberikan pandangan yang seimbang dan adil mengenai isu berkaitan pengambil alihan.
“Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) kini terpaksa menanggung kadar faedah pinjaman yang tinggi lantas merugikan pemegang saham.
“Kami merupakan para pelabur dan pemegang saham yang telah lama menyokong syarikat, seharusnya kami diberikan pampasan yang adil,” katanya lagi.
Putrajaya akan mengguna pakai Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) setelah beberapa siri rundingan antara kerajaan Selangor dan syarikat konsesi air gagal mencapai kata sepakat.
EZY