Categories
SELANGOR

Piala AFC: Selangor cerahkan harapan, tewaskan Hanoi T&T 3-1

SHAH ALAM 2 APRIL: Selangor kembali mencerahkan harapan untuk mara ke pusingan kedua Piala AFC selepas menewaskan pendahulu Kumpulan F, Hanoi T&T 3-1 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Hatrik dari penyerang dari Brazil, Paulo Rangel pada separuh masa pertama membolehkan Selangor mencatat kemenangan sulung dalam kempen Piala AFC musim ini sambil memastikan rekod 100 peratus kemenangan pelawat tidak berpanjangan selepas empat perlawanan.

piala AFCGol saguhati Hanoi diperolehi menerusi sepakan penalti ketua pasukan, Marronkole Gonzalo Damian pada minit ke-36.

Memasuki perlawanan dengan hanya dua mata dari tiga perlawanan awal, jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic berhadapan situasi sukar disebabkan masalah kecederaan yang menimpa Andik Vermansah dan K Gurusamy manakala Steve Pantelidis turut tidak dapat diturunkan akibat penggantungan.

Rizal Fahmi Ab Rosid digandingkan bersama Shahrom Abdul Kalam di bahagian pertahanan manakala bahagian kiri Selangor berwajah baru dengan kehadiran Azmi Muslim dan Ahmad Hazwan Bakri.

Hanoi T&T terlebih dahulu mengancam kubu Selangor seawal minit keempat apabila hantaran Gonzalo menemui Hughtun Hector namun sepakan pemain Trinidad & Tobago itu tersasar dari sasaran.

Perlawanan banyak tertumpu di bahagian tengah padang sebelum tuan rumah membuka jaringan pada minit ke-21.

Kekasaran Pham Thanh Luong terhadap Hadi Yahya menghadiahkan sepakan percuma buat Selangor yang diambil ketua pasukan, Bunyamin Umar. Hantaran tinggi Bunyamin kemudiannya ditanduk masuk Paulo Rangel sekaligus menggembirakan kira-kira 2,500 penyokong Merah Kuning yang meredah hujan untuk menyaksikan perlawanan ini.

Kelekaan benteng Selangor hanya empat minit selepas itu hampir dihukum lawan, namun penjaga gol Farizal Marlias bijak merebahkan badan menghalang percubaan Gonzalo yang melepasi perangkap ofsaid.

Larian deras Hazwan di bahagian sayap pada minit ke-28 sewaktu serangan balas pantas Selangor tidak berhasil apabila hantarannya gagal menemui rakan sebelum Shahrom dipaksa membuat bentesan saat akhir terhadap Nguyen Van Quyet seminit kemudian.

Selangor melebarkan jurang gol pada minit ke-32. Hadi sekali lagi terlibat secara langsung apabila hantarannya menemui Paulo Rangel di celah-celah pertahanan Hanoi sebelum beliau meledak dengan kaki kiri menewaskan penjaga gol, Duong Hong Son.

Belum pun reda sorakan penyokong tuan rumah, Hanoi dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil, Abdulrahman Ibrahim dari Qatar selepas Hazwan mengasari Hector.

Bunyamin dan Thamil Arasu menerima kad kuning selepas membantah keputusan tersebut, sebelum Gonzalo menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-36 itu untuk merapatkan kedudukan.

Tetapi dua minit sebelum rehat, hantaran cantik S Kunanlan dari sebelah kiri membolehkan Paulo Rangel menewaskan Duong buat kali ketiga, kali ini dengan sepakan kaki kanan pula untuk Selangor selesa mendahului 3-1.

Kunanlan hampir melebarkan kelebihan Selangor sebaik sahaja aksi separuh masa kedua bersambung tetapi sepakannya tersasar.

Merah Kuning seakan berpuas hati dengan kelebihan yang diperolehi tatkala pelawat mula melancarkan lebih banyak serangan berbahaya terutama dari gandingan Gonzalo dan Samson Kayode namun berjaya dipatahkan.

Kedudukan 3-1 kekal sehingga tamat permainan untuk membolehkan Selangor mengutip tiga mata berharga sebelum bertandang ke Malang, Indonesia bertemu Arema 16 April ini.

Hanoi kekal mendahului kumpulan dengan 9 mata selepas empat perlawanan, diikuti Arema dan Selangor, masing-masing dengan 7 dan 5 mata. Wakil Maldives, Maziya terperosok di tangga terbawah dengan hanya 1 mata.

SELANGOR: 25-Mohd Farizal Marlias, 12-Mohd Bunyamin Umar (c), 5-Muhammad Shahrom Abdul Kalam, 17-Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, 3-Mohamad Azmi Muslim, 16-S Kunanlan, 23-S Veenod, 14-Abdul Hadi Yahya, 11-Ahmad Hazwan Bakri (24-Mohd Fitri Shazwan Raduwan), 20-A Thamil Arasu (6-Abdul Shukur Jusoh), 9-Paulo Rangel (19-Muhammad Afiq Azmi)

HANOI T&T: 1-Duong Hong Son, 2-Sam Gallagher, 5-Nguyen van Bien, 7-Hector Hughtun, 8-Cao Sy Cuong (17-Le Hong Minh), 10-Nguyen van Quyet, 11-Pham Thanh Luong (21-Nguen Ngoc Duy), 14-Nguyen Hong Tien (37-Sam Ngoc Duc), 20-Marronkle Gonzalo (c), 22-Nguyen Quoc Long, 39-Samson Kayode Olaley.

Pengadil: Abdulrahman Ibrahim Y J Al-Jassim (Qatar).

Dipetik: FAS Selangor

Leave a Reply

Your email address will not be published.