Categories
NASIONAL

Saingan sengit Timb. Presiden PKR, demokrasi dalam parti

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM 23 APRIL : Persaingan sengit bagi merebut kerusi Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan pada 26 April depan semakin hangat dirasakan lebih-lebih lagi posisi kedua tertinggi parti itu bakal menyaksikan pertembungan antara empat calon.

Empat pesaing terdiri daripada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; penyandang Timbalan Presiden, Azmin Ali; Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution dan ahli cawangan Hulu Selangor, Datuk K Ramachandran.

Mengulas keadaan itu, calon Ketua Wanita PKR, Rodziah Ismail menyifatkan ia adalah perkara biasa memandangkan individu yang dicadangkan untuk bertanding posisi itu adalah nama besar dan tidak asing dalam dunia politik tanah air.

pemilihan-2014Beliau berkata ia sekaligus menjadi cabaran buat setiap calon untuk berusaha menonjolkan diri mereka melalui prinsip perjuangan yang dibawa untuk meraih undi ahli anggota.

“Kalau pertembungan antara ketua wanita atau ketua angkatan muda keadilan (AMK) ada dua atau tiga calon sahaja, maka persaingannya lebih mudah atau tidaklah terlalu kuat.

“Tetapi memandangkan calon yang bertanding untuk (timbalan presiden) adalah nama besar mungkin ia menjadi perhatian malah anggota parti sendiri merasa terpanggil untuk mendalami siapa yang terbaik untuk duduk di posisi kedua dalam parti.

“Inilah cabaran bila PKR letakkan satu anggota untuk satu undi,” katanya kepada Selangor Kini.

Rodziah yang juga Exco Wanita dan Kebajikan Selangor, berkata kesemua calon yang bertanding termasuk dirinya kini giat turun padang untuk membawa agenda masing-masing sebelum berhadapan pemilihan, Khamis ini.

Katanya pemimpin yang bertanding mestilah arif membawa hasrat besar majoriti pengundi supaya apabila dipilih kelak mampu melaksanakan mandat yang diberikan dengan sebaik mungkin.

“Kita harap pemimpin yang dipilih ada nilai dan kriteria yang ditetapkan.

“Itulah cabaran besar kepada PKR kerana orang akan nampak pergaduhan antara ahli parti, tetapi sebenarnya tidak kerana ia mematangkan kita,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.