Categories
NASIONAL

Tian: Kapal disamun dekat Pelabuhan Ketam, apa sudah jadi keselamatan negara?

Oleh: Norhayati Umor

SHAH ALAM 23 APRIL: Kerajaan Pusat digesa memberikan perhatian khusus mempertingkatkan tahap keselamatan negara ekoran beberapa insiden terkini yang menggugat keyakinan rakyat.

Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata insiden itu membuktikan kemerosotan tahap keselamatan negara yang memerlukan Kerajaan Pusat bertindak segera mengatasi isu itu.

paskalKatanya, sudah tiba masanya Kerajaan Pusat melakukan penilaian khusus dan mempunyai perancangan rapi agar insiden itu tidak berulang.

Semalam, lima lelaki, dua bersenjatakan pistol seorang lagi parang, menyamun sebuah kapal Jepun dengan memindahkan dua juta liter minyak diesel ke dalam dua buah kapal tanker berhampiran Pulau Ketam dan tiga kru kapal dipercayai diculik.

Manakala, awal April lalu, dalam kejadian jam 10.30 malam itu, tujuh orang yang menaiki bot mendarat di Singamata Reef Resort dan melakukan penculikan.

“Kerajaan perlu mengambil iktibar. Kerajaan perlu melakukan perubahan secepat mungkin.

“Menteri Dalam Negeri tidak hanya boleh memainkan retorik dari segi peningkatan sistem keselamatan negara,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Tian Chua parlimen 01Tian Chua turut mempersoalkan tindakan Kerajaan Pusat yang ‘membisu’ malah cuba merahsiakan masalah itu dengan hanya bermain kata-kata.

“Mengapa Kerajaan Pusat tidak mahu mengaku bahawa terdapat sesuatu yang tidak kena? Kita tidak boleh menyalahkan anggota keselamatan sahaja.

“Sudah tiba masa Kerajaan Pusat melakukan penilaian dengan meletakkan isu keselamatan menjadi perkara utama,” katanya.

Beliau berkata beberapa insiden yang berlaku menyebabkan imej negara merosot namun sehingga kini tiada tindakan berkesan diambil bagi mengatasi masalah itu.

“Dulu berlaku di Sabah, sekarang dekat Pelabuhan Klang tidak jauh dari ibu kota. Ini membahayakan keselamatan negara.

“Sekarang kita memerlukan tindakan kerajaan yang serius dan telus,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Pusat tidak perlu mengadakan sidang khas tetapi hanya memerlukan tindakan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan bersungguh-sungguh.

penculik“Contohnya, penubuhan Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM), bila umum seolah-olah ia satu rancangan begitu disusun rapi namun ia terbukti Esscom tidak berkesan.

“Kita perlu cari kelemahan hingga berlaku insiden itu. Insiden ini bukan rompakan pengganas bersenjata canggih, ini hanya kelompak yang tidak begitu pasti, tiada hubungan pengganas antarabangsa.

“Kita khuatir kalau ia tidak diatasi Malaysia terdedah kepada banyak serangan.

“Saya tidak mahu bersangka buruk, tapi ia menunjukkan amaran serius kepada kerajaan yang memandang ringan isu keselamatan negera,” katanya.

Pada November tahun lepas, seorang pelancong Taiwan ditemui mati ditembak dan isterinya diculik oleh sekumpulan lelaki dalam kejadian di Pulau Pom Pom, Semporna.

Manakala Februari tahun lalu, negara digemparkan dengan isu pencerobohan Lahad Datu.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.