Oleh: NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 29 APRIL: Exco Pekerja Ladang, Kemiskinan Dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirao menolak dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Shahrum Mohd Sharif kononnya Kerajaan Negeri tidak profesional dalam menyelesaikan isu pembinaan 400 unit rumah teres kos rendah membabitkan bekas pekerja ladang di Taman Permata, Dengkil.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri mencari jalan penyelesaian terbaik dan menawarkan tanah seluas 30 ekar di Ampang Tengah yang berjumlah RM13 juta bagi proses pengambilalihan dari syarikat Sime Darby, pada Julai 2013.
Katanya, Kerajaan Pusat melalui Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam surat terakhir pada 16 Januari lalu, meletakkan beberapa syarat kepada Kerajaan Negeri.
“Sikap dolak dalik itu sebenarnya daripada Kerajaan Pusat yang tidak profesional menyelesaikan masalah dan juga janji mereka dulu,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.
Ganabatirao berkata, antara syarat yang dikemukakan Kerajaan Pusat adalah pembinaan rumah itu tidak akan dilakukan secara percuma.
Katanya, ia membabitkan rumah terbabit harus dibeli penghuni dengan harga yang akan ditetapkan dan kos pembinaan perlu ditanggung secara bersama dengan Kerajaan Negeri.
“Surat berserta syarat itu dihantar kepada Kerajaan Negeri, pada 16 Januari lalu. Pada 17 Januari, kita membalas surat itu dengan pendirian tidak bersetuju dengan syarat yang dikemukakan,” katanya.
Beliau berkata, sehingga kini masih tiada komitmen dan maklum balas dari kementerian selepas perbincangan bersama Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi, pada 1 April lalu, .
Pada 25 April lalu, Shahrum mendakwa KPKT sudah bersetuju dengan pembinaan rumah itu, namun tertangguh disebabkan sikap tidak profesional Kerajaan Negeri.
400 penduduk itu dipindahkan ke pangsapuri terbabit pada 1999 bagi memberi laluan kepada projek pembinaan Putrajaya dan mereka dijanjikan rumah teres sebagai kediaman alternatif.
Namun, selepas lebih 15 tahun berlalu, pangsapuri yang sepatutnya menjadi rumah transit kini sudah menjadi rumah tetap.
Penduduk bertambah bimbang apabila rumah transit itu tidak boleh diduduki dengan selamat akibat tanah mendap, terlalu hampir dengan saluran paip gas, sistem perparitan tidak sempurna, saliran air kumbahan pecah dan bangunan rumah retak.
Semua penduduk di pangsapuri berkenaan adalah bekas pekerja di Ladang Perang Besar, Medingly, Galloway dan Sedgley.
Sebelum ini, sebagai langkah sementara, Kerajaan Negeri mengarahkan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) untuk memperbaiki kediaman (pangsapuri) sedia ada melalui peruntukan RM500,000.
-NFN-