Categories
ADN SELANGOR

Lebih 7,000 bakul makanan diagih kepada penduduk Kota Kemuning

SHAH ALAM, 4 SEPT: Lebih 7,000 bakul makanan diagih kepada penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN Kota Kemuning terjejas akibat Covid-19 setakat ini.

Wakil rakyatnya berkata semua penerima mendapat bekalan makanan asas seperti beras, sardin, susu dan minyak.

“Kita dapati semakin ramai penduduk memerlukan bantuan selepas terkesan wabak malah jumlah kategori miskin bandar juga meningkat.

“Jadi kita akan teruskan program ini supaya dapat ringankan beban penduduk dan memastikan mereka tidak terputus bekalan makanan,” kata V Ganabatirau pada sidang media peruntukan rumah ibadat selain Islam di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri (SUK) semalam.

EXCO Kerajaan Negeri itu berkata pihaknya juga membelanjakan kira-kira RM10,000 bagi menyediakan baucar membeli belah di pasar raya 99 Speed Mart bernilai RM50 setiap satu.

“Untuk golongan tertentu seperti warga emas terlantar, bantuan lampin pakai buang turut disediakan,” katanya.

Pada 23 Ogos, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mengingatkan semua wakil rakyat untuk turun padang mengesan penduduk memerlukan bantuan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah golongan ini perlu sentiasa dicari, bukan hanya ketika ingin mendapatkan undi sewaktu pilihan raya sahaja.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Negeri tidak terlibat perobohan Kuil Sri Meenatchi

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 13 JUL: Kerajaan Negeri menafikan sebarang penglibatan dalam perobohan Kuil Sri Meenatchi Sunthereswarar di Klang, sepertimana ditularkan menerusi media sosial.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirao berkata, perobohan kuil hindu itu difahamkan sebagai tindakan penguatkuasaan oleh tuan tanah, selaras Penghakiman Persetujuan bersama pengurusan kuil bertarikh 10 September 2013.

Katanya, pengurusan kuil dalam penghakiman itu bersetuju membeli tanah HS(M)6131 No PT 22301 dan HS(M) 6173 No PT 22343 Mukim Klang pada harga RM80,000 serta memindahkan kuil dalam tempoh enam bulan.

Ganabatirau“Kegagalan pengurusan memindahkan kuil mengikut Penghakiman Persetujuan merumitkan keadaan sehingga tuan tanah terpaksa mendapatkan perintah mahkamah terbaru untuk mengosongkan tapak kuil yang berhakmilik sendiri pada 16 April 2017.

“Perobohan tapak kuil dijalankan kontraktor persendirian dengan kawalan polis serta tuan tanah.

“Jelas, Kerajaan Negeri tidak terlibat dalam perobohan ini kerana ia adalah tindakan penguatkuasaan melalui perintah mahkamah dipersetujui kedua pihak,” katanya dalam kenyataan.

kuilTerdahulu, beberapa laman Facebook pro Barisan Nasional menyebarkan maklumat kononnya Kerajaan Negeri dalang di sebalik perobohan kuil berkenaan.

“Kerajaan Selangor telah merobohkan Kuil Sri Meenatchi Sundareswarar pagi hari ini.

“Dulu BN Roboh 1 kuil, semua bising. Kini pakatan Roboh kuil hari hari. Senyap saja?

“Pakatan janji akan menghentikan robohan kuil serta akan membantu kuil-kuil yang tidak daftar jika menang pilihanraya. Sekarang apa sudah jadi?

“Pengundi Selangor, beribu ribu tahniah,” berikut perkongsian laman berkenaan berserta gambar.

Categories
SELANGOR

200 hadir rumah terbuka ADUN Kota Alam Shah

Oleh: SHUAIB AYOB

SHAH ALAM, 22 OKT: Lebih 200 masyarakat sekitar Shah Alam membanjiri rumah terbuka Deepavali anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, V Ganabatirao di Dewan Exco Kerajaan Negeri, Seksyen 7, di sini, hari ini.

Jamuan yang bermula dari jam 11 pagi hingga 2 petang itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dan beberapa pimpinan negeri dan Pakatan Rakyat (PR) antaranya Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi; Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan Ahli Parlimen Seputih, Teresa Kok.

_MG_1866Pelbagai lapisan masyarakat berbilang kaum dilihat mula membanjiri dewan berkenaan seawal jam 11 pagi dan turut bergambar bersama pimpinan yang hadir ke majlis Ganabatirao yang juga Ecxo Kemiskinan, Kerajaan Prihatin, dan Pekerja Ladang Selangor.

Beraneka hidangan turut disajikan termasuk makanan tradisi masyarakat India antaranya maruku, tosai, capati dan kari.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Tidak profesional, Kerajaan Pusat dolak dalik isu rumah Taman Permata

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 APRIL: Exco Pekerja Ladang, Kemiskinan Dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirao menolak dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Shahrum Mohd Sharif kononnya Kerajaan Negeri tidak profesional dalam menyelesaikan isu pembinaan 400 unit rumah teres kos rendah membabitkan bekas pekerja ladang di Taman Permata, Dengkil.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri mencari jalan penyelesaian terbaik dan menawarkan tanah seluas 30 ekar di Ampang Tengah yang berjumlah RM13 juta bagi proses pengambilalihan dari syarikat Sime Darby, pada Julai 2013.

Katanya, Kerajaan Pusat melalui Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam surat terakhir pada 16 Januari lalu, meletakkan beberapa syarat kepada Kerajaan Negeri.

“Sikap dolak dalik itu sebenarnya daripada Kerajaan Pusat yang tidak profesional menyelesaikan masalah dan juga janji mereka dulu,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

V-GanabatirauGanabatirao berkata, antara syarat yang dikemukakan Kerajaan Pusat adalah pembinaan rumah itu tidak akan dilakukan secara percuma.

Katanya, ia membabitkan rumah terbabit harus dibeli penghuni dengan harga yang akan ditetapkan dan kos pembinaan perlu ditanggung secara bersama dengan Kerajaan Negeri.

“Surat berserta syarat itu dihantar kepada Kerajaan Negeri, pada 16 Januari lalu. Pada 17 Januari, kita membalas surat itu dengan pendirian tidak bersetuju dengan syarat yang dikemukakan,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini masih tiada komitmen dan maklum balas dari kementerian selepas perbincangan bersama Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi, pada 1 April lalu, .

Pada 25 April lalu, Shahrum mendakwa KPKT sudah bersetuju dengan pembinaan rumah itu, namun tertangguh disebabkan sikap tidak profesional Kerajaan Negeri.

400 penduduk itu dipindahkan ke pangsapuri terbabit pada 1999 bagi memberi laluan kepada projek pembinaan Putrajaya dan mereka dijanjikan rumah teres sebagai kediaman alternatif.

flat taman permata 03Namun, selepas lebih 15 tahun berlalu, pangsapuri yang sepatutnya menjadi rumah transit kini sudah menjadi rumah tetap.

Penduduk bertambah bimbang apabila rumah transit itu tidak boleh diduduki dengan selamat akibat tanah mendap, terlalu hampir dengan saluran paip gas, sistem perparitan tidak sempurna, saliran air kumbahan pecah dan bangunan rumah retak.

Semua penduduk di pangsapuri berkenaan adalah bekas pekerja di Ladang Perang Besar, Medingly, Galloway dan Sedgley.

Sebelum ini, sebagai langkah sementara, Kerajaan Negeri mengarahkan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) untuk memperbaiki kediaman (pangsapuri) sedia ada melalui peruntukan RM500,000.

-NFN-