Categories
NASIONAL

Ahli pertikai keputusan Cabang Ampang diumum walau pemilihan batal

Oleh : NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA 27 MEI: Keputusan Pemilihan PKR bagi Cabang Ampang yang disiarkan di laman web rasmi PKR dipertikaikan ekoran pemilihan yang diadakan sebelum ini sudah disahkan sebagai batal.

Keputusan membatalkan pemilihan cabang terbabit diputuskan Ketua Pengawas Pemilihan apabila wakil-wakil calon bagi jawatan Ketua Cabang mendapati kertas undi di dalam peti undi melebihi bilangan pengundi yang membuang undi.

Pemilihan 2014Pembatalan itu perlu dilaksanakan selaras dengan peraturan yang terkandung dalam Prosedur Arahan Tetap (SOP) yang dikeluarkan sendiri PKR yang menyebut pemilihan hendaklah dibatalkan sekiranya terdapat perbezaan melebihi 30 keping kertas undi.

Menurut sumber, kertas undi yang dikeluarkan bagi jawatan Ketua Cabang sebanyak 1,151 sedangkan jumlah nama pengundi yang mengundi hanya 1,115 di mana terdapat lebihan kertas undi sebanyak 36 keping.

“Kalau kertas undi kurang berbanding yang keluar mengundi itu memang ada logiknya sebab kadang-kala ada pengundi yang mengambil kertas undi tetapi memutuskan tidak mahu mengundi atas sebab tertentu tetapi kalau kertas undi lebih daripada nama yang dipotong, ini memang pelik.

IMG-20140520-WA0042“Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) sendiri kata sebelum ini kalau semua calon setuju batal, kena batal dan lagipun perbezaan 36 kertas undi juga bukan persoalan sebab memang dah jelas disebut dalam SOP walaupun hanya terlebih 31 sahaja tetap dikira batal,” kata sumber dalaman PKR itu ketika ditemui Selangor Kini di perkarangan Ibu Pejabat PKR di sini.

Kata sumber terbabit lagi, JPP hanya menghubungi wakil calon pada hari Selasa iaitu dua hari selepas hari pengundian bagi meminta mereka menghantar wakil dalam proses pengiraan undi.

Tambah menghairankan apabila keputusan kiraan undi yang dibuat di ibu pejabat parti itu mendapati perbezaan 36 keping kertas undi sebelum itu sudah berubah kepada tujuh sahaja.

“Seolah-olah sebanyak 29 lagi nama pengundi yang dipotong, kalau tak macam mana boleh bertambah secara tiba-tiba. Wakil calon dah periksa dengan teliti, perbezaannya 36 kertas undi semasa hari mengundi. Dua hari peti undi ‘diperam’ di Ibu Pejabat PKR tanpa pemantauan, macam-macam boleh jadi.

“Bagaimana jumlah nama pengundi yang dipotong boleh bertambah secara tiba-tiba? Apa yang berlaku semasa proses pengiraan tiada siapa yang tahu kerana wakil calon tidak menghantar wakil dalam proses kiraan semula itu kerana tidak mengiktiraf kiraan semula. Sepatutnya dah jelas disebut dalam SOP pemilihan perlu dibatalkan.

“Borang 14 yang dibatalkan juga disahkan batal dengan ditandatangani wakil calon sebagai saksi dan Ketua Pengawas Pemilihan sendiri turut sain dan chop,” kata sumber itu lagi.

Sumber itu memberitahu lagi, beliau difahamkan wakil calon juga sudah bertemu Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Johari Abdul tetapi bantahan mereka ditolak tanpa sebarang alasan kukuh.

“Saya percaya mereka membuat bantahan kali ke dua. Kali ini dalam pendengaran bantahan yang dikendalikan Jawatankuasa Aduan Pemilihan (JAP) sebab ada beberapa teman memberitahu ada terserempak wakil calon terbabit di ibu pejabat parti petang,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.