Categories
SELANGOR

Empangan Sungai Selangor terus catat peningkatan

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 MEI: Empangan Sungai Selangor yang membekalkan kira-kira 60 peratus air ke Kuala Lumpur, Putrajaya dan negeri itu terus mencatatkan peningkatan berdasarkan hujan setiap hari sepanjang tiga minggu, pada Mei ini.

Menurut laman sesawang Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), paras takungan empangan Sungai Selangor setakat 8 pagi tadi terus meningkat pada 41.83 peratus dengan kadar 96.21 juta meter padu.

Ia terus meningkat berbanding pada 4 Mei lalu yang dicatatkan 40.68 peratus, manakala kapasiti empangan itu jika penuh adalah sebanyak 235,320,000 meter padu.

empangan selangor sept 3Reka bentuk empangan pula adalah 400 meter luas di kaki, 800 meter panjang dan 110 meter tinggi, terdiri daripada 1.2 juta meter padu teras tanah liat dan 6.4 juta meter padu granit.

Pada ketika ini, hanya pengepaman air sungai ke dalam kolam sedang beroperasi berikutan lebihan aliran sungai yang diterima setiap hari hasil daripada kadar hujan yang tinggi.

Pengepaman air daripada kolam di Bestari Jaya ke dalam Sungai Selangor dilakukan bermula pada 26 Februari sehingga 6 April lalu.

Sementara itu, Empangan Batu mencatat kadar takungan 83.67 peratus, manakala Empangan Langat pula meningkat kepada 19.49 juta meter padu (57.16 peratus) berbanding 18.91 juta meter padu (55.45 peratus), pada minggu lalu.

Dalam tempoh sama, Empangan Klang Gates mencatat bacaan takungan terkini 15.85 juta meter padu (62.58 peratus), Empangan Semenyih, 47.10 juta meter padu (79.74 peratus), Empangan Sungai Tinggi, 78.22 juta meter padu (68.31 peratus) dan Empangan Tasik Subang pada paras 3.56 juta meter padu (84.69 peratus).

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.