Categories
SELANGOR

Selangor bakal bina lebih banyak institut kemahiran, tingkat kemahiran belia

Oleh: NORHAYATI UMOR

KUALA SELANGOR, 17 MEI: Kerajaan Negeri kini dalam usaha untuk mewujudkan lebih banyak institut latihan kemahiran di negeri itu terutama dalam usaha meningkatkan kemahiran belia.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, berkata pelaksanaan itu juga bagi menampung pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak berpeluang untuk menyambung pelajaran ke institut pengajian tinggi.

Katanya, kebanyakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengutarakan pendapat yang sama dalam sidang dewan negeri, baru-baru ini.

03“Ramai ADUN yang mahu kolej latihan kemahiran seperti kolej INPENS diwujudkan lebih banyak di negeri ini. Jadi, ia sangat relevan dan kita akan berusaha ke arah itu,” katanya pada masjlis perasmian karnival konvokesyen di Kolej INSPENS, di sini.

Halimah berkata, menjadi keperluan kepada Kerajaan Neberi mewujudkan pendidikan berasaskan kemahiran bagi pelajar membina masa depan.

“Kita tidak mahu lambakan belia yang tidak mempunyai masa depan. Kerajaan negeri juga mahu sistem pendidikan yang ada ketika ini dapat diubah selaras keperluan semasa.

Katanya, sistem pendidikan lebih cenderung kepada pembangunan modal insan wanita.

“Ia tidak berkesan kepada lelaki. Di pusat pengajian, wanita lebih ramai, manakala untuk lelaki bukan kerana mereka tidak mampu tetapi ia tidak berkesan.

06“Saya tiada suara dalam kementerian, tetapi kita akan lihat bagaimana perlaksanaan itu di negeri ini nanti,” katanya.

Pada masa sama, Halimah mahu majlis dialog belanjawan 2015 yang akan diadakan pada Jun ini dapat digunakan dengan sebaiknya bagi institut pengajian di bawah Kerajaan Negeri.

“Seperti INPENS, mereka boleh mengemukakan cadangan atau penambahbaikan demi kemajuan kolej dan kita dapat menggunakan bajet itu dengan sebaiknya,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.