Categories
KENYATAAN MEDIA

Haikal jadi pelajar angkat UNISEL

Oleh: HASRIL ABU HASSAN

Universiti Selangor (UNISEL) dengan kerjasama Kumpulan Media Karangkraf (KMK) bersedia untuk menaja sepenuhnya pengajian Mohd Haikal Jefri, 16, yang baru kehilangan ibubapa dalam kemalangan ngeri di Jalan Loke Yew Jumaat lalu. Pasangan suami isteri, Jefri Mohd Zain, 46, dan Noorsalawati Ibrahim ,40, maut selepas terlibat dalam kemalangan ngeri digilis lori. Kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja meninggal di lokasi kejadian.

Idea untuk membantu Mohd Haikal lahir selepas pihak universiti mengetahui berita menyedihkan itu melalui media. Memahami nasib malang yang menimpa Mohd Haikal yang merupakan anak sulung daripada lima beradik itu. Difahamkan, Mohd Haikal kini sedang menuntut di Tingkatan Empat, Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras, Kuala Lumpur. UNISEL menawarkan Mohd Haikal segala kursus yang ditawarkan dan kos melibatkan pembelajarannya akan diberi biasiswa sepenuhnya oleh Unisel serta KMK.

Keputusan tersebut dibuat oleh UNISEL selepas mengadakan perbincangan dengan KMK yang mahu membiayai sepenuhnya sebarang yuran pengajian melibatkan remaja tersebut. UNISEL akan menyediakan tempat bagi Mohd Haikal bagi melanjutkan pelajaran selepas tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disamping tajaan penuh penginapan serta lain-lain yuran pengajian yang dikenakan mengikut program pengajian yang diambil nanti.

Tawaran ini sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UNISEL dan KMK dalam membantu insan memerlukan. Bagaimanapun, tawaran ini tertakluk kepada keputusan peperiksaan Mohd Haikal sama ada layak untuk meneruskan pengajian di UNISEL mengambilkira jumlah kredit yang diperlukan bagi program yang dipohon. Besar harapan kami semua dengan adanya inisiatif dasar keprihatinan seperti ini sekurang-kurangnya dapat membantu anak yatim piatu ini.

Berita kehilangan kedua ibu bapa Mohd Haikal mendapat perhatian simpati seluruh rakyat negara. Sebagai anak sulung, Mohd Haikal memikul tanggungjawab besar untuk memastikan kesemua adik-adiknya membesar dengan sempurna. Demikian itu, diharap dengan penganugerahan biasiswa ini, dapat memastikan Mohd Haikal memperolehi peluang yang sewajarnya untuk meneruskan pembelajaran ke peringkat universiti.

Usaha mempergiatkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UNISEL sedang rancak di rencanakan selama ini. Ini juga dibuktikan dengan pelancaran Tabung Amanah yang telah disempurnakan oleh Prof Dr. Haji Anuar Ahmad, Presiden & Naib Canselor pada 13 Mac 2014 yang lalu, bertujuan mengalakkan amalan menderma dan pengimarahan ilmu melalui sumbangan dan dapat disalurkan kepada pembangunan aktiviti akademik dan pengimarahan ilmu di UNISEL.

# Hasril Abu Hassan adalah Ketua Komunikasi Korporat UNISEL

Leave a Reply

Your email address will not be published.