Categories
KENYATAAN MEDIA

Khalid berpeluang besar menang saingan Timbalan Presiden PKR

Oleh Azman Bidin 

Setelah selesai pengundian di Selangor, anggaran keseluruhan undi yang diperoleh oleh YAB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim untuk jawatan Timbalan Presiden KEADILAN ialah kira-kira 10,800 undi.  Di kedudukan ini, beliau mengekori rapat penyandang iaitu YB Azmin Ali yang setakat ini memperoleh undi sekitar 11,300.

Kiraan ini diperoleh setelah ditolak undian cabang yang dibatalkan dan ditangguhkan pengundian. Jumlah undi ini hanya mengambil kira keputusan yang diterima oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) sahaja (Selangor, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan) serta dicampur dengan jumlah rasmi semasa sepertimana yang tertera di laman web https://pemilihan2014.keadilanrakyat.org/

Melalui anggaran undian ini, perbezaan undi antara YAB Tan Sri Dato’ Seri Khalid Ibrahim berbanding YB Azmin Ali dianggarkan kurang 1000 undi. Pencapaian semasa ini merupakan perkembangan yang memberangsangkan memandangkan keputusan rasmi pada 9 Mei sebelum ini, perbezaan undi antara YAB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim dan YB Azmin Ali adalah sebanyak 3659 undi.

Melalui mood dan ‘trend’ pengundian di Wilayah Persekutuan dan cabang-cabang di Selangor yang keputusannya diterima oleh JPP, kami menganggarkan keputusan undian kepada YAB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim di cabang-cabang yang dibatalkan dan masih ditangguhkan akan melonjak naik.

Anggaran ini berdasarkan cabang-cabang yang dibatalkan atau ditangguhkan ini telah dikenalpasti sebagai kubu kuat beliau.

Situasi semasa ini telah memberikan kami kedudukan yang sangat positif. Jika pengundian semula dan kiraan yang masih berlangsung ketika ini dibuat secara telus, bebas dan berintegriti, KEADILAN bakal memperoleh Timbalan Presiden baru untuk penggal kepimpinan yang akan datang.

* Azman Bidin ialah Setiausaha Politik Kepada YAB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim

Leave a Reply

Your email address will not be published.