Categories
NASIONAL

MB: Anwar bakal umum keputusan penting keputusan Pemilihan PKR

Oleh: Lizawati Madfa

SHAH ALAM 15 MEI : Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membuat beberapa pengumuman penting berhubung keputusan yang dicapai Biro Politik parti itu dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata mesyuarat Biro Politik PKR malam tadi antara lain membincangkan tatacara pengundian dan penyelenggaraan tempat pengundian dijalankan sepanjang pemilihan parti berlangsung.

Pemilihan 2014Beliau yang hadir dalam mesyuarat itu memberitahu pengumuman juga meliputi beberapa isu berbangkit sepanjang pemilihan termasuk tarikh pemilihan semula di beberapa cabang yang dibatalkan keputusannya sebelum ini.

“Kita membuat beberapa ketetapan biro politik yang mana hari ini atau esok Ketua Umum akan umumkannya dan hanya selepas itu baru ahli-ahli biro boleh buat kenyataan.

“Kita dinasihatkan untuk memberi ruang kepada Ketua Umum dan orang lain tidak digalakkan untuk membuat apa-apa kenyataan (buat sementara waktu),” katanya dalam satu sidang media di Bangunan SUK di sini.

Terdahulu, beliau hadir ke Majlis Sumbangan Amal Malaysia Women Marathon di perkarangan lobi SUK yang turut dihadiri anggota-anggota Exco Negeri, Datuk Teng Chang Khim, Dr. Halimah Ali dan Elizabeth Wong.

Pemilihan PKR yang bermula sejak hujung bulan lalu antara lain menyaksikan persaingan sengit jawatan Timbalan Presiden yang ditandingi Abdul Khalid dan penyandang, Azmin Ali serta seorang lagi calon, Datuk Saifuddin Nasution.

Terbaru, Abdul Khalid dilaporkan berpeluang cerah untuk merangkul jawatan nombor dua itu berikutan jumlah undi yang diperolehi beliau setakat ini adalah kira-kira 10,800 undi, hanya beza 500 undi dengan Azmin Ali.

Jumlah undian berkenaan hanya mengambil kira keputusan yang diterima oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) sahaja iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan serta Negeri Sembilan dan tidak termasuk jumlah undian di cabang-cabang yang dibatalkan dan masih ditangguhkan.

Sebelum ini, pengundian di sepuluh Cabang PKR di Selangor terpaksa diadakan semula berikutan timbulnya pelbagai masalah semasa proses pengundian.

Cabang-cabang terbabit Hulu Langat, Sabak Bernam, Sungai Besar, Subang, Klang, Selayang, Kota Raja, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Kapar.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.