Categories
SELANGOR

MB: Program amal promosi Selangor kepada pelancong

Oleh: Lizawati Madfa

SHAH ALAM 15 MEI : Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan penganjuran program amal di Selangor dan sentiasa bersedia memberi sokongan dan bantuan bagi menjayakannya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata penganjuran program amal seperti Maraton Wanita Malaysia (MWM) 2014 mampu mewujudkan lebih banyak aktiviti kebajikan seterusnya memberi manfaat kepada rakyat.

MBKatanya, aktiviti yang diadakan juga secara tidak langsung dapat mempromosi Selangor kepada para pelancong sama ada dari dalam atau luar negara.

“Program marathon ini juga diadakan bagi mengumpul dana untuk disalurkan kepada beberapa badan kebajikan yang terpilih.

“Diharap dana yang disalurkan akan digunakan secara berhemat dan berhemah,” ucapnya.

Beliau berkata demikian dalam majlis penyerahan replika cek kepada badan-badan kebajikan sempena Majlis Sumbangan Amal Maraton Wanita Malaysia 2014.

Hadir sama Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din, Pengarah MwM, Karen Loh serta anggota-anggota Exco Negeri, Datuk Teng Chang Khim, S. Ganabatirao, Dr. Halimah Ali dan Dr. Daroyah Alwi.

Program MWM diadakan pada 16 Mac lepas dengan lebih 3,000 penyertaan termasuk kalangan peserta orang kurang upaya (OKU) di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Peserta maraton bagaimanapun tidak dibenarkan menghabiskan larian ekoran keadaan jerebu yang agak tebal dan menyebabkan tiada pemenang pada waktu itu.

Sehubungan itu, hadiah wang tunai berjumlah RM 18,000 dijanjikan kepada pemenang diberikan kepada badan rumah kebajikan dalam majlis hari ini.

Antara badan kebajikan yang menerima sumbangan ialah Persatuan Ibu Tunggal Semarak Kasih Sayang Selangor, Ibu Tunggal Dun Kota Damansara, Pertubuhan Darul Nadwah Selangor, Sahabat Orang Buta serta All Women’s Action Society of Malaysia.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.