Categories
NASIONAL

Pemilihan PKR: Jumlah undi mungkin berubah, JK Aduan adakan 6 lagi pendengaran

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 19 MEI: Kedudukan terkini persaingan bagi jawatan Timbalan Presiden PKR dijangka boleh berubah apabila Jawatankuasa Aduan Pemilihan (JAP) giat mengadakan pendengaran terhadap bantahan-bantahan yang dikemukakan di seluruh negara.

Antara bantahan tersebut termasuklah enam cabang di Sabah yang sedang dijalankan pendengarannya iaitu Kudat, Kota Marudu, Kota Belud, Ranau, Sepanggar dan Sipitang.

Pemilihan 2014Sekiranya bantahan yang dibuat berasas akan menyebabkan banyak lagi keputusan pemilihan yang dikeluarkan sebelum ini terpaksa dibatalkan bagi diadakan pemilihan semula.

Pengerusi JAP, Abdul Malek Hussain ketika dihubungi Selangor Kini mengesahkan beliau sedang berada di Sabah bagi menjalankan pendengaran bantahan berhubung Pemilihan PKR 2014.

“Saya tengah adakan pendengaran di Sabah, minta maaf sibuk sekarang, tidak dapat beri sebarang komen,” kata beliau kepada Selangor Kini di sini, hari ini.

Sementara itu di laman web rasmi PKR menunjukkan sehingga 11 Mei lalu, calon Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali mendahului dengan mengutip 12,250 undi meninggalkan pencabarnya, Abdul Khalid Ibrahim yang memperolehi 8,123 dan diikuti Saifuddin Nasution, 6997 undi.

Bagaimanapun jumlah undian yang dipaparkan itu tidak termasuk keputusan di Selangor yang memiliki jumlah keahlian tertinggi di seluruh negara.

Sementara itu menurut satu sumber kepada Selangor Kini pihak wakil calon menghadapi kesukaran untuk menentukan jumlah undi sebenar apabila sering terdapat percanggahan jumlah undi antara wakil calon dengan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).

“Kadang-kadang ada keputusan di cabang yang sekejap mereka kata ok, sekejap mereka tarik balik keputusan itu, lepas tu ok balik dan tarik semula. Tindakan main tarik-tarik tali ini menyebabkan kesulitan untuk kami membuat kiraan yang tepat,” kata beliau kepada Selangorkini.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.