Categories
KENYATAAN MEDIA

Perutusan Hari Wesak 2014 oleh MB Selangor

Selamat sejahtera dan salam bahagia.

Hari Wesak yang disambut oleh penganut Buddha di Malaysia dan di seluruh dunia, jatuh pada 13 Mei tahun ini. Di kesempatan ini, selaku wakil bagi barisan pimpinan Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Selangor, saya ingin mengucapkan ribuan tahniah kepada semua penganut agama Buddha di Malaysia secara amnya dan di negeri ini khususnya sempena perayaan Hari Wesak yang kekal meriah dan ceria meskipun disambut dalam penuh kesederhanaan.

Di Malaysia, agama Buddha adalah yang kedua terbesar daripada segi bilangan penganut, selepas agama Islam. Kedudukan sebegini diikuti oleh agama Hindu pada tempat ketiga manakala agama Kristian pada tempat keempat.

Negeri Selangor mungkin memberi gambaran yang lebih jelas kerana daripada 5.78 juta orang penduduknya sekarang, kaum Melayu/Bumiputera mewakili sekitar 51 peratus, manakala masyarakat Cina 27 peratus, kaum India 16 peratus, dan eknik-etnik lain sekitar 6 peratus.

MBBahkan sebenarnya, seluruh rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang terutama dalam aspek pendapatan, keturunan, agama dan budaya turut mendapat peluang dan manfaat natijah sambutan Hari Wesak dan hari kebesaran agama-agama lain kerana diisyhtiharkan hari cuti umum di seluruh negara.

Bagi mereka yang tidak menyambut Hari Wesak sebaliknya dapat meluangkan masa di samping keluarga sama ada berehat sahaja di rumah, melancong ke destinasi pilihan atau berkunjung ke rumah keluarga, jiran dan rakan yang menyambut Hari Wesak.

Tahun ini, Hari Wesak disambut dalam bulan Mei ketika bulan terang mengambang bagi memperingati tiga peristiwa penting, iaitu kelahiran Siddharta Buddha di Taman Lumbini pada tahun 623 Sebelum Masihi (SM); Buddha mendapat ilham agung untuk menjadi Buddha di Buddha-Gaya pada usia 35 tahun di tahun 588 SM, dan Buddha Gautama mangkat di Kusinara pada usia 80 tahun pada tahun 543 SM.
Sebagai ketua Kerajaan Negeri Selangor, saya suka berpesan kepada seluruh penganut ajaran Buddha supaya berhati-hati dalam perjalanan bagi mengelak kemalangan, ketika ke kuil-kuil untuk memberi penghormatan kepada Buddha,dan bagi semua rakyat, ketika berkunjung ke rumah sanak saudara dan sahabat handai atau bercuti ke destinasi tertentu.

Saya yakin ramai penganut agama Buddha di negara ini percaya bahawa perpaduan dan keharmonian masyarakat di negeri Selangor dan Malaysia secara keseluruhannya dapat dicapai sekiranya mereka sentiasa patuh dengan dan mengamalkan ajaran baik semua agama.

Sebagaimana semua sedia maklum, antara prinsip Gautama Buddha yang diberi penekanan adalah memberi keutamaan terhadap ajaran sila, karma dan latihan memelihara hati; sifat pemurah, keterbukaan hati dan minda; sentiasa bersyukur dengan rezeki dan nikmat; dan keyakinan bahawa rupa, diri dan nikmat adalah bersifat sementara. Bahkan pada sambutan Hari Wesak, kalangan dermawan penganut Buddha sangat digalakkan memberi sumbangan kepada golongan miskin dan para sami.

Jelas bahawa Hari Wesak merupakan satu daripada pelbagai perayaan berunsur keagamaan yang disambut dalam suasana aman, harmoni, ceria dan berwarna-warni di Malaysia. Ini secara langsung mencerminkan permuafakatan nasional, sikap bertolak ansur dan saling hormat menghormati serta jatidiri Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum and agama yang sejajar dengan ajaran agama Islam sebenar.

Firman Allah Subhanahuwataala, dalam al-Quran, surah al-An’am, ayat 108, antara lain bermaksud, bahawa Allah Subhanahuwataala mengingatkan seluruh manusia agar tidak mencerca sembahan agama-agama lain kerana dikhuatiri mereka itu kelak mencerca pula agama Islam disebabkan kejahilan atau kurang kefahaman. Wallahua’lam.

Sekianlah sahaja. Selamat Hari Wesak kepada seluruh penganut agama Buddha.

Terima kasih, dan Salam Perpaduan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.