Categories
NASIONAL

Piala Thomas: Malaysia mara ke separuh akhir, bertemu Indonesia

New Delhi 23 MEI: Malaysia menepati sasaran ke separuh akhir Piala Thomas 2014 apabila mengalahkan juara Eropah, Denmark 3-1 pada perlawanan suku akhir di Stadium Tertutup Siri Fort di New Delhi malam tadi.

Beregu kedua negara Goh V Shem dan Tan Wee Kiong memberi mata kemenangan kepada skuad negara apabila menumpaskan Carsten Mogensen/Joachim Fisher dalam straight set 21-19, 21-13 dalam pertarungan selama 37 minit.

ThomasMalaysia akan menentang Indonesia manaka juara bertahan China berdepan dengan Jepun dalam saingan separuh akhir hari ini.

Pada suku akhir, Indonesia mengalahkan Korea Selatan 3-2, China menumpaskan Thailand 3-0 dan Jepun mengatasi Perancis 3-1.

Jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei mengambil masa 62 minit untuk menyumbang mata pertama apabila menumpaskan Jan O Jorgensen 20-22, 21-14 dan 21-17.

Bagaimanapun, Denmark menyamakan kedudukan apabila beregu utama negara Tan Boon Heong/Hoon Thien How kalah kepada pasangan Mads Pieler Kolding/Mads Conrad Petersen dalam straight set 14-21 dan 18-21.

Pemain perseorangan kedua Chong Wei Feng menghidupkan peluang Malaysia selepas mengetepikan cabaran Hans Kristian Vigtinghus 19-21, 21-14, 21-18 dalam pertarungan selama 56 minit.

“Persediaan untuk bertemu Denmark berhasil,” kata jurulatih beregu negara Pang Cheh Chang kepada pemberita selepas Malaysia berjaya melepasi peringkat suku akhir.

Beliau berkata gandingan V Shem dan Wee Kiong mengikuti strategi yang diberikan dan mereka mempunyai masa depan yang cerah selepas menampilkan persembahan konsisten.

Mengenai pertemuan dengan Indonesia, Pang berkata pemain perlu meneliti kelemahan dan kekuatan lawan masing-masing.

Bagaimanapun, barisan negara akan diputuskan selepas perbincangan antara jurulatih dan pemain.

“Buat masa ini, kami gembira untuk memenuhi sasaran yang ditetapkan oleh pihak pengurusan,” katanya.

Sementara itu, Wei Feng berkata beliau perlu mengekalkan momentum pada penampilan sulung kejohanan berprestij itu.

Setakat ini, beliau menang semua perlawanan.

Pada saingan Piala Uber, juara bertahan China akan menentang Korea Selatan manakala India akan berdepan dengan Jepun pada separuh akhir esok.

Pada peringkat suku akhir, China mengalahkan England 3-0, Korea Selatan mengalahkan Thailand 3-1, India mengejutkan Indonesia 3-0 dan Jepun mengatasi Denmark 3-0.

– Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published.