Categories
SELANGOR

Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 pacu ekonomi 20 tahun

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 MEI : Kerajaan Negeri akan mengadakan mesyuarat untuk menambahbaik kajian Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 bagi menggantikan Rancangan Struktur Negeri Selangor 2020, pada 20 Mei ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata perbincangan itu akan dipecahkan kepada empat kumpulan yang diketuai Exco mengikut portfolio masing-masing.

Katanya, ia bagi memastikan penyediaan kajian terbabit mengikut keperluan semasa dan seterusnya lebih menyeluruh.

IMG_1164a“Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 akan menjadi rujukan utama dalam memacu perancangan fizikal dan membantu pertumbuhan ekonomi Selangor dalam 20 tahun akan datang.

“Semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan kira-kira 150 pegawai daripada agensi teknikal akan mengadakan mesyuarat, pada 20 Mei ini bagi membincangkan draf dan melakukan penambahbaikan,” katanya dalam sidang media, di Bangunan SUK, di sini, hari ini.

Abdul Khalid berkata, draf terbabit akan dibuka kepada orang awam dan pihak berkepentingan untuk mendapatkan pandangan, maklum balas, cadangan atau bantahan dalam tempoh sebulan selaras dengan Akta 172 Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, selepas draf selesai ditambahbaik.

Rancangan terbabit adalah kajian perancangan bersepadu yang membabitkan 20 sektor perancangan seleras dengan Akta 172.

IMG_1156aRancangan itu meliputi aspek pengangkutan dan lalu lintas, perumahan, guna tanah fizikal, perniagaan dan perkhidmatan, perindustrian, pelancongan, kemudahan masyarakat, pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan infrastruktur serta utiliti.

“Rancangan ini sangat penting memandangkan Selangor adalah negeri termaju dan menyumbangkan hampir suku kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

“Kajian sudah dimulakan, pada 4 Jun 2012 dengan beberapa siri bengkel dan mesyuarat teknikal bersama agensi dan jabatan kerajaan termasuk negeri bersempadan,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.