Categories
KENYATAAN MEDIA

Selangor kemuka cadangan pelan tindakan penstrukturan semula industri air

Kerajaan Negeri hari ini telah mengemukakan kepada Kerajaan Persekutuan satu cadangan pelan tindakan bagi memastikan penstruktran semula industri air di Selangor diselesaikan secepat mungkin selepas tiga syarikat konsesi bersetuju diambil alih oleh Kerajaan Negeri.

Pelan tindakan penstrukturan semula industri air yang mensasarkan proses penstrukturan diselesaikan dalam tempoh tiga (3) hingga enam (6) bulan telah diserahkan kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili melalui surat bertarikh 21 Mei 2014.

Kerajaan Negeri yakin sasaran penyelesaian dapat dicapai berdasarkan perbincangan intensif yang sedang giat diadakan oleh pihak-pihak yang terlibat iaitu Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), syarikat konsesi iaitu Puncak Niaga Holdings Berhad (PNSB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) serta Kementerian selaku Pemudahcara.

Jadual pelaksanaan antara lain melibatkan:

1. KDEB mengeluarkan surat tawaran kepada pemegang saham daripada tiga syarikat konsesi berkenaan.

2. Menubuhkan Jawatankuasa Bersama Pelaksanaan Langat 2.

3. Kerajaan Persekutuan, KerajaanNegeri, PAAB dan KDEB memulakan perbincangan berkaitan Perjanjian Induk, yang akan menetapkan prinsip-prinsip penghijrahan kepada model Akta Industi Perkhidmatan Air (WSIA) , termasuk pemindahan aset, kaedah penyelesaian pinjaman pembangunan sistem bekalan air Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri, dan hal-hal pelesenan perkhidmatan kepada pemilik aset dan operator air yang baharu

4. KDEB dan PAAB menjalankan proses due diligence ke atas tiga syarikat konsesi. PAAB perlu mengesahkan nilai aset air yang akan diambil alih, KDEB perlu mengesahkan pengiraan nilaian ekuiti dan pemindahan aset PNSB dan yang melibatkan PNHB

 

5. Menandatangani Perjanjian Penjualan Saham antara KDEB dan para pemegang saham PNSB, SYABAS dan ABASS

 

6. Melaksanakan Semakan terperinci Perjanjian Utama dan Perjanjian KeTTHA, Kerajaan Negeri, PAAB dan KDEB dengan Pejabat Peguam Negara, Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi Persekutuan dan Unit Kerjasama Awam Swasta.

Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air kerana kerjasama berterusan yang telah diberikan bagi memastikan penstruktran semula industri air di Selangor berjalan lancar.
YAB TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID BIN IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Leave a Reply

Your email address will not be published.