Categories
SELANGOR

Taman Tasik Seri Aman hilang seri, bakal lenyap dengan timbunan sampah

Oleh: NAEEM RAFFI

PUCHONG, 9 MEI: Taman Tasik Sri Aman yang satu ketika dahulu terkenal di kalangan kaki pancing kerana ikan patin kini berubah wajah sebagai lokasi pilihan pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah.

Setiausaha Persatuan Penduduk Kampung Seri Aman, Rosman Rahmad, 46, berkata aktiviti menambak tanah menggunakan sampah di tebing tasik itu semakin berleluasa, sejak kebelakangan ini.

“Kampung Seri Aman hilang serinya akibat aktiviti yang tidak bermoral ini. Taman rekreasi ini bukan lagi destinasi pilihan buat kaki pancing, bahkan aktiviti ekonomi peniaga makanan di sini juga terjejas teruk.

Tasik Sampah 5“Perlu ada tindakan segera, jangan sampai Kampung Seri Aman dikenali sebagai ‘Kampung Seri Sampah’ baru pihak berwajib mahu ambil perhatian,” katanya.

Difahamkan, tasik yang terkenal dengan jolokan Lombong Buaya itu dipenuhi sampah, sejak setahun lalu.

Tinjauan Selangor Kini mendapati dalam tempoh kurang daripada 30 minit terdapat beberapa buah lori sarat dengan muatan membuang sampah di tebing tasik.

Perabot rosak, sisa binaan dan juga serpihan kayu antara sampah yang kelihatan jelas terapung di tasik berkenaan dan sehingga kini, kira-kira 10 peratus daripada kawasan lombong berjaya ditambak.

Rosman membayangkan kurang dari lima tahun, tasik terbabit akan lenyap menjadi tanah rata jika tiada tindakan serius diambil bagi menanganinya.

Tasik Sampah 1“Selain sebagai tempat rekreasi, ia berperanan sebagai kawasan takungan air hujan sebelum mengalirkannya ke Sungai Klang.

“Kini, tasik semakin cetek dan sempit. Tidak mustahil jika hujan lebat, kampung ini akan banjir dan bagaimana pula jika tasik ini tiada, sudah pasti banjir akan kerap berlaku, selain suatu ancaman kepada penduduk,” katanya.

Rosman menggesa Pihak Berkuasa Tempatan memandang serius perkara itu demi kepentingan bersama dan generasi akan datang.

“Kerajaan Negeri dan PBT perlu mengambil tindakan drastik bagi memulihara tasik ini. Penduduk juga perlu memainkan peranan, jangan mengambil mudah dengan menjadikan tasik sebagai ‘tong sampah’ termasuk aktiviti menambak.

“Kalau tidak dipelihara, yang rugi adalah penduduk sendiri,” katanya.

Tasik Sampah 7Taman Tasik Sri Aman adalah bekas lombong bijih sebelum dinaik taraf menjadi taman rekreasi dengan pelbagai kemudahan seperti pondok rehat, kerusi, pelantar memancing, tandas awam dan gerai makanan.

Kemudahan serta keindahan tasik itu menjadi daya penarik buat orang awam daripada serata tempat untuk beriadah, berkelah dan memancing.

Keindahannya juga berjaya menarik perhatian pengiat seni dengan menjadikan ia sebagai lokasi pengambaran drama dan klip video artis tempatan.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.