Categories
SELANGOR

Wan Azizah: “Tugas ibu ini tak akan habis, selesai bila tutup mata”

Oleh: Lizawati Madfa

SUBANG JAYA 10 MEI : Golongan wanita hari ini dinasihatkan untuk bijak memainkan peranan dalam usaha mengukuhkan institusi kekeluargaan, seterusnya membentuk generasi yang baik pada masa hadapan.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata wanita bukan sahaja terpaksa menggalas tugas professional di luar tetapi turut menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan ibu di rumah.

Wan Azizah melawat ibu tunggal 01Bagaimanapun keadaan ini, katanya, tidak akan menghalang seorang wanita untuk melakukan yang terbaik demi keluarga tersayang.

“Seperti saya, walaupun dalam keadaan sekarang sudah tua, saya masih lagi kadang kala rasa bersalah andai saya tidak melakukan yang terbaik untuk anak-anak dan keluarga kerana saya tinggalkan mereka untuk keluar bekerja.

“Tugas ibu ini tidak akan habis, tugas ibu hanya selesai apabila sudah tutup mata.

“Ketika itu, barulah seorang ibu akan berhenti daripada memikirkan keluarga dan anak-anak,” ucapnya.

Beliau berkata demikian di hadapan lebih 300 hadirin yang diraikan dalam Sambutan Hari Ibu anjuran Pejabat DUN Subang Jaya di Dewan Serbaguna SS15 di sini pagi tadi.

Hadir sama ialah Adun Subang Jaya yang juga Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh serta Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen.

Mengulas sambutan hari ini, Hannah berkata pihaknya berhasrat untuk mengadakan lagi keraian serupa bagi mengukuhkan perhubungan antara komuniti di Subang Jaya.

“Hari ini kita menjemput wanita daripada pelbagai kumpulan termasuk daripada masjid, gereja, tokong Buddha dan kuil Hindu untuk mereka berkumpul bersama dalam satu majlis.

“Dengan ini, setiap mereka dapat bertukar pandangan, saling berkenalan dalam satu suasana harmoni.

“Ini dapat memupuk rasa kasih antara kita semua dan mengukuhkan ikatan yang terjalin,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.