Categories
NASIONAL

40 tahun khidmat dedikasi, Karpal Singh diberi Anugerah Perkhidmatan Awam

SHAH ALAM 26 JUN: Mendiang Karpal Singh akan diberi Anugerah Perkhidmatan Awam sebagai pengiktirafan terhadap perkhidmatan beliau yang penuh dedikasi kepada negara selama lebih 40 tahun.

Pengerusi Gandhi Memorial Trust (GMT) S.Radhakrishnan, berkata anugerah itu akan disampaikan GMT pada satu majlis khas di Royal Selangor Club, Kuala Lumpur pada 30 Jun.

Radhakrishnan menyifatkan Karpal Singh, bekas pengerusi kebangsaan DAP dan anggota Parlimen Bukit Gelugor, sebagai peguam yang bijak, ahli politik dan anggota Parlimen yang pintar dan paling istimewa, seorang aktivis hak asasi manusia yang berjiwa kental.

karpal“Sepanjang hayatnya, Karpal Singh memperjuangkan keadilan sosial serta menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-undang.

“Beliau adalah harta negara dan akan amat dirindui serta diingati kerana sumbangan dan pengorbanan besarnya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang menjadi kebanggaan kita semua di Malaysia,” katanya dipetik Bernama.

Karpal Singh, yang digelar ‘Harimau Jelutong’, meninggal dunia dalam nahas jalan raya di KM 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung, Kampar pada awal pagi 17 April. Beliau berusia 74 tahun.

Radhakrishnan berkata GMT mengundang empat individu terkemuka dalam bidang guaman untuk memperkatakan tentang pelbagai sisi kehidupan dan kerjaya Karpal Singh sebelum penyampaian anugerah itu.

Mereka ialah bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi undang-undang Datuk Mohd Zaid Ibrahim, bekas Presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan dan peguam Datuk Jagjit Singh, katanya.

Isteri Karpal Singh, Gurmit Kaur dan semua anak beliau akan menghadiri majlis itu di samping 20 duta dan pesuruhjaya tinggi serta beberapa hakim dan bekas hakim.

Leave a Reply

Your email address will not be published.