Categories
SELANGOR

Abdul Khalid pilih Brazil juarai Piala Dunia 2014

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 13 JUN : Kejohanan bola sepak Piala Dunia 2014 yang berlangsung mulai 12 Jun hingga 13 Julai bakal menyaksikan sebanyak 32 buah negara berentap bagi merangkul kejuaraan pada acara sukan berprestij yang berlangsung di Brazil.

Seperti kebanyakan orang lain, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut tidak melepaskan peluang untuk menonton perlawanan dan memberi sokongan kepada pasukan pilihan meskipun sibuk dengan tugasan harian sebagai Menteri Besar Selangor.

MB BrazilBercakap kepada Selangor Kini, Abdul Khalid berkata pasukan pilihannya adalah Brazil dan yakin negara itu mampu menjulang Piala Dunia tahun ini kerana memiliki kelebihan sebagai tuan tumah dan menerima sokongan hebat daripada masyarakat di situ.

Selain Brazil, beliau percaya Argentina juga mampu memberi saingan hebat kepada Brazil dan pasukan lain berdasarkan rekod cemerlangnya sebelum ini selain memiliki pemain hebat seperti Lionel Messi.

“Saya dulunya juga minat bermain bola tetapi disebabkan kerja-kerja politik saya hanya dapat melihatnya melalui televisyen.

“Saya percaya Brazil dan Argentina adalah antara pasukan yang dijangka akan masuk ke separuh akhir, namun sudah tentulah Sepanyol yang sudah memenangi piala dunia sebelum ini akan memberi saingan hebat,” katanya.

Katanya, beberapa negara Eropah lain seperti Jerman, Itali dan England dijangka turut memberi saingan hebat, termasuk beberapa pasukan dari Afrika seperti Nigeria dan Cameroon.

Brazil kembali semula sebagai tuan rumah selepas mendapat penghormatan tersebut pada 1950.

Sememangnya, sejak Piala Dunia dianjurkan julung kalinya pada 1930, Brazil merupakan pasukan yang tidak pernah gagal membuat penampilan di pentas Piala Dunia.

Daripada 19 edisi Piala Dunia, Brazil dianggap sebagai pasukan yang paling berjaya apabila menjadi juara sebanyak lima kali pada 1958, 1962, 1970, 1994 dan 2002.

Sebagai tuan rumah, Brazil merasmikan perlawanan pertama Piala Dunia 2014 dengan kemenangan 3-1 ke atas Croatia dalam saingan pembukaan Kumpulan A, di Stadium Corinthians Arena di Sao Paulo awal pagi tadi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.