Categories
EKONOMI

Atuk semai semangat meniaga, MiMBAR bantu Zulaikha majukan kedai

Oleh Norfarahidayu Baharudin

USIA muda bukan halangan buat Siti Zulaikha Samsudin mengambil
langkah berani meluaskan perniagaan keluarga demi minat terhadap
dunia perniagaan.

Hasilnya, anak bongsu dari enam beradik berusia 24 tahun yang lebih
mesra dipanggil Ika kini menjual pelbagai peralatan mahupun pakaian Islamik di kedai Muhammad Setor di Pasar Jawa, Klang.

Antaranya, naskhah al-Quran, songkok, barangan haji dan umrah,  jubah lelaki serta perempuan.

DSC_7195

Ika sebenarnya mewarisi semangat dan kebolehan berniaga dari
keluarganya. Sejak 1985, keluarganya memulakan perniagaan
menjual songkok.

“Memang keluarga lama menceburi bidang ini. Sejak zaman arwah atuk lagi. Waktu itu, kami sekeluarga menjual songkok buatan sendiri,” katanya.

Tidak hairanlah Ika turut menyimpan cita-cita memiliki kedai pakaian sendiri dan menyampaikan hasrat itu kepada bapanya.

“Ayah ada kedai pakaian Islamik di Bangunan Mara, Klang. Sebelum
berniaga, saya beritahu niat kepada ayah. Alhamdulillah, ayah  sokong, bahkan membantu,” katanya.

Ika juga menjadikan kegigihan ayahnya, Samsudin Muhammad, 61, sebagai mentor untuk terus maju.

“Ayah mentor terbaik saya,” katanya pelajar yang abangnya, Muhammad Qahiruddin Samsudin, 26, juga membuka kedai menjual barangan Islamik.

“Dari kecil kami didedahkan pada dunia perniagaan. Kini saya dibantu ibu yang banyak mendorong kejayaan ini,” katanya yang pernah melalui pengalaman, pakaian jualannya dicuri orang lalu lalang di kaki lima kedainya.

DSC_7203

Ibunya, Siti Rahaya Sadli, 57, berkata mereka sekeluarga menyokong
usaha Ika kerana yakin Ika mampu menguruskan perniagaannya
sekalipun usianya masih muda.

“Saya yakin dengan usaha Ika. Ika juga banyak bertanya kepada ayah
sebelum ambil tindakan ataupun keputusan,” katanya.

Ketika berusia 22 tahun, Ika mengetahui Program Mikrokredit Miskin
Bandar (MiMBAR) yang memberi pinjaman tanpa faedah kepada peniaga Selangor berkelayakan.

mimbarTanpa buang masa, Ika pada 2012 membuat pinjaman MiMBAR RM3,000.

“Saya gunakan sebagai modal untuk penuhkan barang di kedai. Pada saya, tiada istilah try and error. Saya yakin pada rezeki Allah.

“MiMBAR bukan sahaja beri pinjaman tetapi beri ilmu. Paling suka,
MiMBAR beri pelbagai peluang dan kursus. Kursus itu sangat berguna, selain melonjakkan semangat berniaga,” katanya.

Sekalipun sibuk, Ika masih bercita-cita melanjutkan perniagaan ke peringkat lebih tinggi tetapi mahu mengukuhkan perniagaan terlebih dahulu.

“Saya mahu kukuhkan perniagaan, tambah pekerja supaya ada orang yang boleh menjaga kedai sewaktu ketiadaan saya,” katanya.

Mereka yang berminat membeli barangan dari kedai Ika bolehlah melayari youbeli.com/muhammadstore atau terus ke kedainya di Klang atau hubungi 017-3927808 untuk sebarang pertanyaan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.