Categories
KENYATAAN MEDIA

Isu Bible: MB panggil Exco, MAIS & Penasihat Undang-Undang bincang kes

Selangor ambil perhatian kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Dato’ Adzib Mohd Isa berkenaan isu rampasan Bible versi Bahasa Melayu dan Iban milik Persatuan Bible Malaysia (BSM).

Menteri Besar, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohamed Khusrin Munawi untuk memanggil mesyuarat bersama Mufti Negeri Dato’ Seri Setia Haji Mohd Tamyes Abd. Wahid, EXCO Agama YB Salehen Mukyi, Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman serta wakil MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk mengadakan perbincangan pada minggu hadapan.

“Kerajaan Negeri akan cuba mendapatkan persetujuan bersama sebelum mengadap DYMM Sultan Selangor untuk kata putus,” kata Menteri Besar.

Khamis lalu, Peguam Negara telah memutuskan kes BSM ditutup kerana tiada kes untuk didakwa dan menasihatkan Kerajaan Negeri untuk mengikut proses undang-undang dalam mengedali barang kes yang diambil daripada BSM.

Kerajaan Negeri kemudiannya meminta Jais mendapat khidmat nasihat YB Salehen dan Datuk Nik Suhaimi tentang prosedur dan tatacara menurut peruntukan undang-undang bagi tindakan lanjut yang perlu diambil.

Terdahulu, MAIS dalam kenyataannya mengatakan tidak bersetuju dengan keputusan Peguam Negara menutup kes dan mendakwa Kerajaan Negeri tiada kuasa untuk mengarahkan JAIS memulangkan barang kes kepada BSM.

DIKELUARKAN OLEH SEKRETARIAT AKBHAR PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Leave a Reply

Your email address will not be published.