Categories
SELANGOR

Isu BSM: MB umum keputusan penuh 23 Jun

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 18 JUN: Keputusan berhubung isu pemulangan bible kepada Persatuan Bible Malaysia (BSM) akan diumumkan Kerajaan Negeri pada 23 Jun ini, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata, pertemuan bersama DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sudah diadakan pagi tadi ,namun memaklumkan pertemuan kedua akan berlangsung esok bagi mendapatkan keputusan muktamad berhubung perkara berkenaan.

MBKatanya, beliau perlu berlaku adil kepada semua pihak bagi memastikan isu yang berlarutan sejak Januari lalu dapat diselesaikan sepenuhnya.

“Saya akan menghadap Tuanku Sultan esok untuk mendapat penyelesaian muktamad supaya saya dapat berjumpa dengan PBM pada Isnin (23 Jun).

“Kita menerima nasihat Tuanku Sultan ,tetapi saya tidak boleh terangkan nasihatnya kerana perbincangan belum tamat ,” katanya pada sidang media selepas sesi Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Pada masa sama, Abdul Khalid berkata, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak pernah menyatakan mereka enggan memulangkan kitab Injil berkenaan, tetapi menegaskan mereka bertanggungjawab terhadap enakmen yang tidak dipatuhi persatuan terbabit.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak bercadang untuk melucutkan kuasa eksekutif MAIS seperti yang dicadangkan empat Ahli Parlimen PAS Selangor semalam (17 Jun) kerana berpendapat tiada keperluan berbuat demikian.

“Perkara itu tidak timbul (lucutkan kuasa)..belum lagi. Ia ada proses dan perlu ikut langkah kerana bila sudah tahu (keputusan), saya kena panggil JAIS dan MAIS untuk beritahu mereka sebelum maklumkan kepada umum,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.