Categories
SELANGOR

Kembalikan hak penguatkuasaan Jabatan Perikanan

Oleh: LIZAWATI MADFA

KUALA LANGAT, 6 JUN: Kerajaan Pusat digesa mengembalikan semula bidang kuasa penguatkuasaan kepada Jabatan Perikanan bagi mengawal pencerobohan pukat tunda ke kawasan yang diwartakan kepada nelayan tradisi.

Pemangku Pengerusi Persatuan Nelayan Selangor, Mohd Jaman Haris, berkata tugas yang diberi kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dilihat gagal membawa kesan penguatkuasaan diharapkan.

Beliau berkata, pencerobohan pukat tunda juga semakin meningkat sementara penangkapan dilakukan semakin berkurangan berbanding sewaktu di bawah bidang kuasa Jabatan Perikanan.

apmm“Kalau dahulu di bawah Jabatan Perikanan tangkapan pencerobohan ini boleh mencapai kepada 400 tangkapan setahun, tetapi sejak diambil alih APMM terus berkurangan sehingga 100 sahaja dalam tempoh sama.

“Kita tidak salahkan APMM kerana faham mereka juga ada komitmen lain, apa lagi dengan kekangan anggota pasti sukar mahu memantau aktiviti perikanan. Jadi, kembalikan semula kepada Jabatan Perikanan seperti dahulu kerana lebih efisien,” katanya.

Terdahulu beliau menyertai sesi penerangan Program Pengezonan Semula Kawasan Penangkapan Ikan yang turut dihadiri Pegawai Perikanan Daerah Kuala Langat, Zainal Abidin Mohd Sukiman.

APMM dikatakan mula mengambil alih tugas penguatkuasaan di kawasan laut sejak tahun 2010 sementara Jabatan Perikanan pula hanya diberi kuasa untuk menjalankan penguatkuasaan di kawasan pesisiran pantai sahaja.

Sementara itu, Zainal Abidin menyokong gesaan itu sambil menambah kerajaan harus menggunakan kepakaran sedia ada dalam Jabatan Perikanan.

IMG_2884a“Kita ada kepakaran kerana ini bidang kita, jadi tahu bila waktunya aktiviti pencerobohan boleh berlaku. Kalau kita dapat kembali aset kita dengan anggota yang cukup, saya pasti kerja penguatkuasaan dapat terus diperkasakan.

“Cadangan ini bukan untuk kami, tetapi untuk nasib nelayan. Bagaimanapun segalanya terserah kepada kerajaan,” katanya.

Merujuk laman web rasmi APMM, badan yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu antara lain berfungsi bagi menguatkuasa undang-undang dan ketenteraman di bawah undang-undang persekutuan di zon maritim serta mencegah juga menyekat pelakuan kesalahan di kawasan berkenaan.

Selain itu, APMM turut berfungsi mencegah dan menyekat pelanunan serta pengedaran haram dadah narkotik di laut lepas.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.