Categories
SELANGOR

Keunikan burung berhijrah merentas benua boleh jadikan Selangor terkenal

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 10 JUN: Keunikan penghijrahan burung-burung merentas benua hingga ke Kuala Selangor pada setiap tahun berpotensi dijadikan produk pelancongan terkenal di negara ini.

Naib Presiden Pencinta Alam Malaysia, Profesor Dr Ahmad Ismail berkata Malaysia berada dalam 20 teratas dalam peta pelancongan yang mempunyai kepelbagaian dan keaslian alam semulajadi.

kgbird“Di Kuala Selangor juga ada Festival Wings setiap tahun yang menarik minat pelancong asing melihat burung-burung melakukan penghijrahan mereka.

“Pernah pada satu ketika pelancong dari 21 negara datang ke Malaysia untuk mengambil gambar burung,” kata Dr Ahmad.

Sepanjang Oktober setiap tahun, Taman Alam di Kuala Selangor akan dibanjiri pelancong asing yang datang ke situ semata-mata mahu menyaksikan spesies burung yang berhijrah ke sekitar taman itu.

ho_01.6Katanya, masih banyak keunikan serta keindahan semula jadi di Selangor yang berpontensi dibangunkan sebagai salah satu produk pelancongan terkenal.

“Masyarakat perlu dididik termasuk di peringkat sekolah dalam memulihara sumber alam semula jadi bukan sahaja untuk makanan, malah juga untuk pelancongan.

Kata beliau dalam sidang media Forum Pembangunan Mampan dan Mesra Alam di Dewan Annex, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Sementara itu Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong ketika merasmikan forum itu berkata aktiviti melindungi alam sekitar perlu dijalankan secara konsisten bagi memastikan tarikan semula jadi dapat dikekalkan.

“Selangor dianugerahkan keindahan pelancongan eko seperti hutan lipur, air terjun, pantai dan alam semula jadi yang menjadi tumpuan pelancongan.

“Antara tempat pelancongan eko yang menarik untuk dilawati seperti kelip-kelip di Kuala Selangor, sawah padi di Sabak Bernam, hutan lipur di Kuala Kubu Bahru dan air terjun di Hulu Langat,” kata Elizabeth.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.