Categories
SELANGOR

KIDEX : Kerajaan Negeri arah Datuk Bandar PJ anjur sesi taklimat

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 26 JUN : Kerajaan Negeri mengarahkan Datuk Bandar Petaling Jaya untuk menyelaraskan sesi taklimat khas berkenaan isu lebuh raya Kinrara-Damansara Expressway (KIDEX) kepada ahli majlis, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata sesi taklimat itu akan diadakan selepas Kerajaan Selangor sudah mendapat laporan lengkap berhubung lebuh raya berkenaan daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

MB“Kerajaan Selangor berpendirian bahawa penswastaan hendaklah mengutamakan kepentingan rakyat khususnya di Selangor kerana ia melibatkan dana cukai yang dibayar oleh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata LLM hari ini sudah memberi taklimat kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) berhubung keperluan lebuh raya di Selangor termasuk cadangan pembinaan projek KIDEX.

Beliau berkata LLM telah menerangkan status lebuh raya sedia ada di sekitar Lembah Klang berserta justifikasi membina lebuh raya baru berdasarkan trafik semasa dan akan datang.

“Kita telah dimaklumkan bahawa berdasarkan analisa LLM, Koridor Lebuhraya Lingkaran Tengah (MRRII) memerlukan 10 lebuh raya baharu, Koridor Utara memerlukan 5 lebuh raya baharu manakalan Koridor Selatan memerlukan 4 lebuh raya baharu pada 2020.

“Analisa ini mengambil kira sistem pengangkutan awam sedia ada dan dalam perancangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata LLM turut memaklumkan bahawa pengangkutan awam, jalan raya dan lebuh raya perlu dirancang bersama untuk melengkapi antara sama lain bagi menyokong keperluan pembangunan baru di negeri Selangor.

Selain itu, katanya KIDEX Sdn Bhd juga turut memberi taklimat mengenai laporan penilaian kesan lalu lintas dan akan menghantar laporan terkini kepada LLM dalam tempoh dua minggu sebelum ia dipamerkan kepada orang ramai.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.