Categories
SELANGOR

Kolam tadahan USJ 3A dinaik taraf babit kos lebih RM160 ribu

Oleh: LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 7 JUN: Kolam tadahan USJ 3A akan dinaik taraf melalui kerja pembersihan dan pemuliharaan yang menelan kos keseluruhan berjumlah RM167,980.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Hannah Yeoh, berkata kos berkenaan akan dibiayai Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sepenuhnya dan dijangka mengambil masa selama lapan minggu untuk disiapkan.

Katanya, kerja berkenaan sudah dimulakan pada 15 Mei lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 9 Julai ini.

hannah yeoh“Pejabat ADUN Subang Jaya dan bekas ahli majlis yang kini ADUN Bukit Gasing, R Rajiv sudah bertahun mendesak untuk projek ini.

“Oleh itu, kami sangat berbesar hati MPSJ sudi memperuntukkan wang untuk menjayakannya pada tahun ini,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Selain Rajiv, turut hadir adalah Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen dan Penolong Jurutera Kanan Jabatan Kejuruteraan MPSJ, Shahrul Izhar Arsat.

Hannah berkata, pejabatnya juga akan memasang lebih banyak lampu limpah di kolam takungan untuk tujuan keselamatan khususnya bagi penduduk yang tinggal di sekitar kawasan berkenaan.

“Selain itu, saya juga ada memberi beberapa cadangan kepada MPSJ untuk menambah baik sistem yang ada sebelum ini. Antaranya, saya meminta Jabatan Kejuruteraan dapat memasang lebih banyak perangkap ‘grill’ di longkang sebelah kanan kolam tadahan yang berkeluasan sepuluh ekar itu,” katanya.

Kerja pembersihan dan pemuliharaan akan dilakukan kontraktor dilantik iaitu Rezeki Umpetan Enterprise yang akan melakukan kerja seperti mengorek dan membawa keluar kelodak sampah menggunakan ‘floating excavator’.

Hannah Yeoh - Binaan Jejantas hadapan Sekolah SMK USJ13 Subang Jaya 01Selain itu, kontraktor juga akan mengumpul dan mengutip sampah serat tumbuhan terapung menggunakan pengangkutan terapung secara manual, membawa kelodak dan sampah daripada tapak menggunakan lori serta membaiki tebing atau benteng yang rosak.

Pada masa sama, kontraktor turut dipertanggungjawabkan untuk meratakan tanah dengan menggunakan backhoe sebelum menanam rumput 300mmx300mm secara rapat di kawasan tadahan itu.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.