Categories
SELANGOR

Lori kuari langgar peraturan operasi, penduduk Dusun Tua tidak puas hati

Oleh: HAFIZAN TAIB

HULU LANGAT, 12 JUN: Pengusaha kuari di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua didakwa menjalankan operasi pengeluaran bahan itu di luar waktu dibenarkan apabila kelihatan banyak lori keluar masuk melalui Jalan Kuari Sungai Long, sejak akhir-akhir ini.

ADUN Dusun Tua, Razaly Hassan, berkata orang ramai mula mempertikaikan perkara itu berikutan kehadiran kenderaan berat berkenaan hingga menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas pada waktu puncak.

Beliau berkata, seharusnya perkara itu tidak timbul kerana Pejabat Daerah Hulu Langat sudah menetapkan peraturan pada 16 Disember 2013 dan pengusaha kuari sudah bersetuju dengan keputusan itu.

kuari1“Akhir-akhir ini, nampaknya peraturan itu sudah mula dilanggar. Dianggarkan kira-kira 600 buah lori membawa batuan kuari keluar masuk dalam sehari melalui jalan raya pada waktu puncak.

“Pengguna jalan raya tidak berpuas hati dengan keadaan ini. Mereka berharap tindakan segera diambil supaya pihak berkenaan kembali mematuhi garis panduan ditetapkan,” katanya.

Razaly berkata, Pejabat Daerah Hulu Langat harus mengambil serius perkara itu supaya tidak berpanjangan dan dilaporkan iaberlaku sejak beberapa bulan lalu dengan lori bermuatan batuan kuari dikatakan bebas keluar masuk dari kawasan kilang.

razaly hasanTerdapat tiga kilang kuari di situ yang beroperasi sejak beberapa tahun lalu dan keadaan itu dikatakan menyebabkan kesesakan jalan raya di DUN Dusun Tua, bahkan penduduk tempatan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan bagi menyelesaikannya.

Pada 16 Disember 2013, Pejabat Daerah Hulu Langat menetapkan tiada operasi pengeluaran bahan batuan dan pasir dibenarkan pada Ahad dan cuti umum.

Operasi pada Isnin hingga Jumaat hanya dibenarkan mulai jam 5.00 hingga 7.00 pagi dan 9.00 pagi hingga 5.00 petang, manakala pada Sabtu mulai jam 5.00 hingga 10.00 pagi dan 1.00 hingga 4.30 petang.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.