Categories
EXCO SELANGOR

Peruntukan RM4.9 juta atasi masalah banjir di Dusun Tua

SHAH ALAM, 3 DIS: Kerajaan Negeri membelanjakan lebih RM4.9 juta untuk mengatasi masalah banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua dalam tempoh empat tahun.

EXCO infrastruktur Ir Izham Hashim berkata peruntukan sejak 2018 sehingga Oktober lalu membabitkan kerja penyelenggaraan, cuci gali, penyelenggaraan tebing dan pemuliharaan sungai.

“Pada 2018 sebanyak 21 projek dijalankan dengan kos RM485,694 diikuti 23 projek pada 2019 dengan kos RM1.1 juta.

“Sebanyak RM1.8 juta dibelanjakan pada 2020 membabitkan 43 projek dan RM1.5 juta pada 2021 dengan 30 projek,” katanya dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini .

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Dusun Tua Edry Faizal Eddy Yusof berhubung peruntukan mengatasi banjir di DUN Dusun Tua.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Pelihara kebajikan, tingkat ekonomi luar bandar

Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua merencana pelbagai program jangka panjang bagi membangunkan ekonomi setempat sekali gus meningkatkan taraf hidup penduduk meliputi 14 kampung tradisi Melayu.

Edry Faizal Eddy Yusof, 35, antara lain menganjurkan projek Wirausaha awal Julai lalu bagi membantu orang ramai yang baru atau mahu mengembangkan perniagaan.

“Melalui usaha ini, saya menyediakan latihan, rundingan dan bimbingan kepada mereka yang baru hendak memulakan serta yang mahu mengembangkan perniagaan,” katanya.

Bengkel pertama Wirausaha berjalan lancar pada 12 September lalu, malangnya bilangan peserta terpaksa dihadkan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

Ketika Covid-19 melanda, beliau juga memastikan kebajikan rakyat dengan mengadakan Pusat Bank Makanan N23 yang berfungsi sebagai lokasi penduduk mendapatkan bakul makanan jika terputus bekalan itu.

Selain itu, Edry juga menaik taraf prasarana sekolah bagi memastikan pelajar selesa selain kemudahan awam pada tahap terbaik.

Peduli wanita

Pemberdayaan wanita juga tidak pernah dipandang ringan. Ini terbukti apabila Edry melancarkan projek Ibu Langat di flat Taman Pinggiran Delima pada 28 Ogos lalu.

Edry Faizal Eddy Yusof

Inisiatif itu dilaksanakan dengan mengambil kira peranan wanita sebagai tulang belakang masyarakat. Golongan ibu diberdayakan untuk menjana ekonomi kecil-kecilan.

“Warung kita sediakan, mereka bebas meletakkan hasil jualan tanpa caj dan akan dipantau pegawai kami,” katanya.

Beliau turut memuji pakej rangsangan ekonomi Selangor Prihatin yang membekalkan bantuan menyeluruh kepada rakyat.

“Komitmen Kerajaan Negeri bukan sahaja ditunjukkan melalui jumlah pakej rangsangan itu tetapi juga kepantasan bantuan tersebut disalurkan kepada rakyat,” katanya.

Sepanjang dua tahun berkhidmat sejak menang di kawasan itu, Edry menabur bakti tanpa mengira kaum, jauh sekali mengambil kira pegangan politik penduduk.

“Saya percaya kita cuma perlu terus menabur bakti. Saya beri contoh, yang terima manfaat daripada program DUN Dusun Tua meskipun tumpuannya golongan berpendapatan rendah, majoritinya Melayu,” katanya.

“Biar itu menjadi contoh atau saksi sama ada perjuangan kita hanya cakap-cakap atau dengan tindakan,” katanya

Pelbagai projek yang dilakukan Edry Faizal, antaranya:

1. Menyediakan Pusat Bank Makanan N23 bekalan makanan
2. Satu perempat peruntukan untuk menaik taraf sekolah-sekolah
3. RM10,000 bantuan makanan asas kepada penduduk 17 kampung
4. Membaik pulih cerun runtuh di Jalan Sungai Tekali
5. Mengatasi kesesakan lalu lintas luar biasa di Jalan Hulu Langat
6. Membina tapak sementara Medan Selera Taman Perkasa yang terbakar

 

Categories
SELANGOR

JKR, JPS giat atasi isu air bertakung

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

HULU LANGAT, 10 APRIL: Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Langat sudah mengemukakan surat kepada Pejabat Daerah Hulu langat dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bagi mengatasi masalah air bertakung di atas Jalan Hulu Langat, Bukit Raya, di sini.

Ahli Dewan Negeri Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga mengemukakan surat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit termasuk Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) untuk tindakan penguat kuasaan.

“Mengikut laporan siasatan, projek terbengkalai dan kerja tanah di bahagian atas (upstream) menjadi punca terjadi masalah itu.

“Kerja tanah ini juga didapati dilakukan secara haram tanpa permit daripada pihak berkuasa. Disebabkan kerja tanah berkenaan, tanah dari atas turun ke bawah apabila berlaku hujan lebat sehingga menyebabkan longkang dan culvert (pembetung) tersumbat akibat tanah merah,” katanya.

Terdahulu, masalah saluran air dan longkang tersumbat berhampiran Gudang Gas Petronas Kampung Bukit Paya mengundang kebimbangan penduduk di sekitar kawasan terbabit

Mengulas lanjut, beliau berkata, JPS sudah menjalankan kerja mendalamkan anak sungai sebagai langkah jangka masa pendek, selain kompaun dikeluarkan Jabatan Kejuruteraan MPKj terhadap pemilik lot yang mengerjakan tanah tanpa kelulusan.

Katanya, walaupun kerja tanah di tapak sudah berhenti sepenuhnya, namun sehingga kini pemilik tanah masih belum menerima maklum balas Notis Arahan dan Notis Kompaun daripada PBT berkenaan.

“Pihak konsesi juga sering melaksanakan kerja-kerja pembersihan, tetapi berhadapan dengan cabaran culvert sudah hampir dipenuhi dengan tanah.

“JPS bersedia membantu menambah baik saliran dengan membina outlet tetapi ianya melibatkan tanah individu. Oleh itu, perkara ini sedang dalam proses perbincangan bersama ketua kampung dan pemilik tanah.

“Kita juga akan terus menyelaras dan membantu agensi-agensi berkaitan untuk menyelesaikan permasalahan ini,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Ops Bersepadu banteras pergerakan lori degil

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

HULU LANGAT, 12 SEPT: Isu kacau ganggu lori dipercayai terbabit dalam kegiatan kuari dan projek pembangunan di sekitar kawasan Hulu Langat menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk.

Ahli Dewan Negeri Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof berkata, beberapa isu utama menjadi rungutan awam termasuk penggunaan jalan raya di luar waktu ditetapkan dan keadaan jalan berdebu berpunca daripada pergerakan tanpa henti lori terbabit.

Katanya, lanjutan daripada itu beliau menggesa Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat supaya memperketatkan penguat kuasaan bersama agensi bertanggungjawab dalam Ops Bersepadu bagi mengekang pergerakan lori degil terbabit.

“Saya memandang serius masalah kerana ia membabitkan keselamatan dan keselesaan warga Langat, justeru saya mencadangkan kepada Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) terbabit dalam operasi penguat kuasaan bagi membolehkan mereka menjalankan pemantauan lebih ketat.

“LPKP boleh mengambil tindakan membatalkan permit lori terhadap mana-mana yang masih melanggar peraturan ditetapkan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Mengulas lanjut, Edry Faizal berkata, pihaknya dalam proses perbincangan bersama Jabatan Kerja Raya untuk menaik taraf Jalan Hulu Langat.

Bagaimanapun katanya, berdasaran kertas cadangan itu, kos pelaksanaannya agak tinggi memandangkan agensi berkenaan perlu melakukan pengambilan tanah.

“Kos ini tinggi ekoran kerajaan terdahulu yang tidak meneruskan projek sejauh 17 kilometer tetapi saya akan berbincang dengan menteri berkaitan bagi memastikan ia dapat diteruskan secara berperingkat,” katanya.

Categories
SELANGOR

Dusun Tua mampu jadi pusat tarikan pelancong

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 23 MEI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua, Edry Faizal Yusof yakin kawasannya berpotensi dijadikan tempat tarikan pelancong popular di Selangor.

Edry berkata, melihat kepada keindahan alam semula jadi serta kawasannya yang strategik berdekatan dengan ibu kota antara kelebihan kawasan itu mampu dibangunkan untuk tarikan pelancong.

“Di sini terdapat kawasan air pana, air terjun Sungai Gabal, air terjun Tekala, kawasan perkelahan dan rekreasi Sungai Congkak antara yang menarik untuk dikunjungi.

“Jika kita dapat tarik lebih ramai pelancong, secara tidak langsung ia akan memberi manfaat kepada ekonomi serta rakyat di negeri ini,” katanya dilapor Sinar Harian

Edry turut berharap kementerian dapat membantu membangunkan industri pelancongan di Dusun Tua.

“Saya akan bertemu dengan Exco Negeri untuk mencadang dan membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut,” katanya.

Pada masa sama, Edry berkata, sepanjang Ramadan ini beliau menjalankan program agihan bubur lambuk pada setiap hari ahad di hadapan Dewan Batu 16.

Katanya, sebanyak 150 bekas diedarkan kepada penduduk dan golongan asnaf di kawasannya dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Batu 16 serta Ahli Parlimen Hulu Langat, Hasanuddin Mohd Yunus.

Categories
SELANGOR YB ACTIVITIES

Industri pertanian di Dusun Tua berpotensi terus maju

OLEH HAFIZAN TAIB

DUSUN TUA, 10 OGOS: Aktiviti pertanian dan penternakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua melalui perkembangan pesat serta bakal membantu masyarakat setempat menikmati kemajuan.

Ahli Dewan Negeri Dusun Tua, Razaly Hassan berkata, pemilihan kawasan itu sebagai lokasi program Jelajah Infra Tani tahun ini membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri membantu golongan penternak dan petani.

“Kita berterima kasih kepada Exco dan Kerajaan Negeri yang memilih kawasan ini kerana ia mempunyai ramai pengusaha ternakan juga pertanian.

“Dengan penganjuran dan hasil lawatan diadakan di kawasan diusahakan, Exco akan menilai dan memutuskan pemberian bantuan untuk kita menjayakan segala usaha dibuat penduduk setempat,” katanya.

infratani2Beliau berkata, ia perkembangan positif bagi golongan itu ekoran selama ini terdapat sebahagian daripada mereka tidak mendapat perhatian serius daripada mana-mana pihak.

Melalui jelajah itu, katanya, Kerajaan Negeri bersama masyarakat mahu melihat DUN Dusun Tua melangkah maju sebagai antara pusat pengeluaran penternakan dan pertanian, di Selangor.

“Maka, harapan kita supaya masyarakat setempat harus mengambil bahagian dan menyokong terhadap perkara ini,” katanya.

Jelajah Infra Tani 2017 DUN Dusun Tua diadakan di Dataran Terang Malam, di sini, pada 6 Ogos lalu dan dirasmikan Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib.

Selain DUN Dusun Tua, program tahun ini diadakan di Kuala Selangor, Sungai Burong, Kuala Langat, Dengkil, Sri Muda dan Kuang.

Jelajah Infra Tani adalah lanjutan program turun padang Zaidy yang diperluaskan daripada program asal dengan tumpuan hanya di daerah pertanian seperti Sabak Bernam, Kuala Selangor, Kuala Langat dan Hulu Selangor.

Categories
SELANGOR

AKTIVITI YB: 300 pengunjung Bazar Ramadan Bandar Mahkota Cheras terima bubur lambuk

Oleh: HAFIZAN TAIB

CHERAS, 16 JULAI: Sempena bulan Ramadan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Razaly Hassan mengagihkan 300 bungkusan bubur lambuk kepada orang ramai di bazar Ramadan, Bandar Mahkota Cheras di sini, pada 13 Julai lalu.

Sememangnya bubur lambuk menjadi salah satu juadah pilihan di bulan mulia ini apabila dalam masa singkat ia dapat dihabiskan kerana pengunjung bazar tidak melepaskan peluang mendapatkannya.

razaly03Razaly juga berharap program sama dapat diadakan saban tahun bagi memeriahkan sambutan bulan Ramadan di DUN Dusun Tua.

“Sambutan agak menggalakkan dan program ini diharap mampu diteruskan lagi pada tahun akan datang,” katanya selepas selesai bubur lambuk itu diedarkan.

Razaly merakamkan penghargaan atas kerjasama diberikan Surau As Sharikin dan AJK PAS Bandar Mahkota Cheras dalam menjayakan program terbabit.

Beliau turut meninjau bazar Ramadan terbabit selain beramah mesra dengan peniaga dan orang ramai yang berkunjung di situ.

-NFN-

JURNAL BERITA : Zon Perindustrian baru diwujud pacu ekonomi Selangor

Sinopsis

1. Nilai Pembangunan Kasar Selangor RM40 bilion 5 tahun akan datang

2. Isu KIDEX: Selangor berhak persoal jika tak beri manfaat

3. LLM perlu main peranan penting dalam isu lebuh raya Selangor

4. MB: 37 operasi pembenihan awan dijalankan persiapan El-Nino

5. Sistem 4G tingkat rangkaian WiFI Selangor

6. Selesai isu tidak sekata PBT, Selangor selaras permohonan Kebenaran Merancang

7. Zon Perindustrian baru diwujud pacu ekonomi Selangor

8. Pemilihan PKR 2014: 21 dilucutkan pencalonan di Selangor

9. Selangor anjur seminar antarabangsa, rangka dasar komprehensif sistem sisa pepejal

10.Lori kuari langgar peraturan operasi, penduduk Dusun Tua tidak puas hati

11.75% pangsapuri Selangor capai status Komuniti Bestari pada 2022

12.Rakyat berpendapatan rendah terus dibantu, pelbagai program dirancang

13.Buah dadu tak boleh dibuka lebih sekali, jangan tipu rakyat

14.Bihun cap masjid, pengguna perlu waspada ciri Islamik dipergunakan

15.Kerajaan Pusat patut perjelas Lebuh Raya Kidex kurang sesak trafik 5% sahaja

16.Cadangan baru cermin gelap berakhir di Glenmarie?

17.Kerajaan BN sasar 14% hasil GST bahan api, harga barang melonjak

18.Calon Timbalan Presiden PKR dipanggil panel pendengaran khas

http://tv.selangorku.com

Categories
SELANGOR

Lori kuari langgar peraturan operasi, penduduk Dusun Tua tidak puas hati

Oleh: HAFIZAN TAIB

HULU LANGAT, 12 JUN: Pengusaha kuari di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua didakwa menjalankan operasi pengeluaran bahan itu di luar waktu dibenarkan apabila kelihatan banyak lori keluar masuk melalui Jalan Kuari Sungai Long, sejak akhir-akhir ini.

ADUN Dusun Tua, Razaly Hassan, berkata orang ramai mula mempertikaikan perkara itu berikutan kehadiran kenderaan berat berkenaan hingga menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas pada waktu puncak.

Beliau berkata, seharusnya perkara itu tidak timbul kerana Pejabat Daerah Hulu Langat sudah menetapkan peraturan pada 16 Disember 2013 dan pengusaha kuari sudah bersetuju dengan keputusan itu.

kuari1“Akhir-akhir ini, nampaknya peraturan itu sudah mula dilanggar. Dianggarkan kira-kira 600 buah lori membawa batuan kuari keluar masuk dalam sehari melalui jalan raya pada waktu puncak.

“Pengguna jalan raya tidak berpuas hati dengan keadaan ini. Mereka berharap tindakan segera diambil supaya pihak berkenaan kembali mematuhi garis panduan ditetapkan,” katanya.

Razaly berkata, Pejabat Daerah Hulu Langat harus mengambil serius perkara itu supaya tidak berpanjangan dan dilaporkan iaberlaku sejak beberapa bulan lalu dengan lori bermuatan batuan kuari dikatakan bebas keluar masuk dari kawasan kilang.

razaly hasanTerdapat tiga kilang kuari di situ yang beroperasi sejak beberapa tahun lalu dan keadaan itu dikatakan menyebabkan kesesakan jalan raya di DUN Dusun Tua, bahkan penduduk tempatan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan bagi menyelesaikannya.

Pada 16 Disember 2013, Pejabat Daerah Hulu Langat menetapkan tiada operasi pengeluaran bahan batuan dan pasir dibenarkan pada Ahad dan cuti umum.

Operasi pada Isnin hingga Jumaat hanya dibenarkan mulai jam 5.00 hingga 7.00 pagi dan 9.00 pagi hingga 5.00 petang, manakala pada Sabtu mulai jam 5.00 hingga 10.00 pagi dan 1.00 hingga 4.30 petang.

-NFN-