Categories
SELANGOR

MB: Tidak perlu bentang kertas putih isu air

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 13 JUN : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata tiada keperluan bagi Kerajaan Negeri untuk membentangkan kertas putih berhubung krisis air yang berlaku di Lembah Klang dan Putrajaya seperti yang dicadangkan Ahli Parlimen Kota Tinggi .

Beliau berkata Kerajaan Selangor tidak mahu membazir masa dan wang untuk menyediakan kertas putih berhubung isu air dan menegaskan ia perlu disediakan Kerajaan Pusat jika keadaan mendesak.

air-syabas_MB1Katanya sasaran Kerajaan Negeri kini adalah untuk membetulkan semula keputusan dan operasi berhubung pengstrukturan semula industri air yang dilakukan pemerintah terdahulu.

“Beliau (Ahli Parlimen Kota Tinggi) perlu lebih risau mengenai pentadbiran kerajaan Selangor sebelum tahun 2008.

“Selepas Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pentadbiran negeri, kita sanggup buat penstrukturan semula air sebagai testimoni bahawa Kerajaan Negeri hendak betulkan kekurangan air mentah dan air terawat bagi keperluan rakyat di Lembah Klang dan Putrajaya.

“Kami tidak kisah untuk sediakan kertas putih tetapi ia akan memalukan kerajaan pusat kerana parti pemerintah sebelum 2008 tidak buat kerja yang bagus,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Taklimat Pelabur I-City untuk pembangunan I-City Mall, dekat sini semalam.

Terdahulu, akhbar New Straits Times melaporkan Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid mencadangkan supaya Kerajaan Selangor membentangkan kertas putih berhubung impak krisis air di Lembah Klang dan Putrajaya yang berlaku sejak tahun 2010.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.