Categories
NASIONAL

Permohonan maaf KJ tidak memadai, perlu laksana secara terbuka

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 3 JUN: Permohonan maaf secara peribadi oleh Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berhubung insiden rusuhan ahli Umno di ibu pejabat DAP tidak boleh diterima kerana tidak dilakukan secara rasmi.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming, berkata permohonan maaf itu perlu dibuat secara terbuka ekoran ahli Pemuda Umno bertindak melampaui batas sehingga mengancam untuk membakar ibu pejabat DAP dan melemparkan serpihan memorandum kepadanya.

Beliau berkata, permohonan maaf Khairy juga sebenarnya hanya bagi papan tanda DAP yang dirosakkan bukannya berhubung salah laku ahlinya.

Ong Kian Ming 01“Kegagalan beliau untuk meminta maaf atas kelakuan samseng Pemuda Umno adalah tidak wajar bagi seorang Ketua Pemuda yang bercakap begitu bagus sekali ketika berhadapan orang ramai.

“Tetapi malangnya beliau tidak mempunyai keberanian untuk mengakui serta mengutuk tingkah laku yang tidak boleh diterima dan tidak bertamadun oleh ahli Pemuda Umno sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Kian Ming berkata, walaupun DAP menyokong hak sebarang kumpulan menganjurkan perhimpunan aman di negara ini, namun pihaknya tidak boleh menerima tindakan atau perilaku yang mengancam serta menggunakan keganasan secara fizikal.

Beliau turut berharap supaya Khairy dapat memberi contoh yang baik kepada golongan muda di negara ini dengan membuat permohonan maaf secara terbuka dan mengecam tindakan samseng ahlinya.

KHAIRY“Tidak memadai (permohonan maaf itu) kerana beliau perlu meminta maaf secara terbuka.

“Bagaimana jika ahli DAP menyerang ibu pejabat Umno, merosakkan harta benda dan kemudian menghantar surat peribadi kepada Perdana Menteri untuk meminta maaf, adakah itu dapat diterima,” katanya.

Pada 22 Mei lalu, lebih 50 ahli Pemuda Umno membuat bantahan di hadapan ibu pejabat DAP sebagai tanda protes terhadap kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, RSN Rayer yang menggunakan perkataan “celaka” untuk mengutuk beberapa pemimpin pemuda Umno Pulau Pinang.

Ketika insiden itu, mereka mematahkan papan tanda DAP di hadapan pintu masuk serta mengugut untuk membakar bangunan ibu pejabat parti terbabit.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.