Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 80 peratus penduduk Lembah Klang lengkap divaksin hujung Ogos

SHAH ALAM, 3 OGOS: Lebih 80 peratus penduduk Lembah Klang dijangka lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19 menjelang hujung bulan ini.

Penyelaras Program Operasi Lonjak Kapasiti berkata susulan itu jangkitan harian tinggi yang direkodkan ketika ini diyakini akan berkurangan.

Jelas Dr Ong Kian Ming, Program Vaksin Selangor (Selvax) anjuran Kerajaan Negeri sejak Jun lalu turut membantu jangkaan berkenaan dicapai.

“Selvax merupakan langkah baik dalam menyelaraskan usaha PICK (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan). Kerjasama ini capai sasaran penduduk Selangor terima satu dos suntikan menjelang Ogos termasuk yang mendaftar di MySejahtera.

“Kejayaan (Selvax) ini bukan kepada Selangor sahaja sebaliknya sebahagian daripada Lembah Klang kerana ada penduduk Kuala Lumpur terima suntikan di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bual bicara bertajuk Lonjakan Vaksinasi Lembah Klang yang disiarkan secara langsung di Facebook Media Selangor dan YouTube Selangor TV malam ini.

Menurut ahli parlimen Bangi sasaran penduduk lengkap divaksin itu membolehkan Pelan Pemulihan Negara yang dikuatkuasakan di Lembah Klang beralih ke fasa seterusnya.

Kerajaan Selangor dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalinkan kerjasama dengan membenarkan individu yang mendapat janji temu di MySejahtera menerima vaksin program Selvax di beberapa pusat terpilih bagi mempercepat proses vaksinasi penduduk.

Susulan itu, EXCO Pembangunan Luar Bandar Borhan Aman Shah menyasarkan semua penduduk negeri ini lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 menjelang hujung tahun.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan digesa tambah geran bantu industri bioteknologi

SERDANG, 22 JUN: Kerajaan disaran membantu industri bioteknologi negara berkembang termasuk menambah geran bantuan untuk syarikat tersebut, kata ahli parlimen Serdang.

Ong Kian Ming berkata penekanan perlu diberikan untuk mengkomersilkan produk tempatan selaras dengan pasaran bioteknologi global yang dijangka terus meningkat.

“Kerajaan perlu terus bantu dan sokong syarikat tempatan bukan sahaja untuk bersaing di dalam negara tetapi peringkat serantau atau global.

“Sebagai contoh kajian khasiat kulat banyak dilakukan sama ada dalam bidang pertanian atau perubatan yang sebenarnya boleh dikembangkan lagi,” katanya kepada pemberita selepas melawat kilang Ligno Biotech Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Balakong hari ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia dijangka terima aliran pelaburan sihat syarikat China

KUALA LUMPUR, 23 OGOS: Malaysia dijangka menarik aliran pelaburan sihat daripada syarikat China pada separuh kedua tahun ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming.

“Saya baru-baru ini kembali daripada misi pelaburan ke Shenzhen dan Guangzhou bersama dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dan kami telah melihat minat yang tinggi dalam kalangan syarikat-syarikat yang kami temui semasa misi itu.

“Saya optimistik bahawa kelulusan pelaburan untuk syarikat-syarikat China pada separuh kedua tahun ini akan meningkat,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahanan (MoU) antara Packtica Sdn Bhd dan Shenzhen Qianhai Quantum Cloud Code Technology Co Ltd yang berpangkalan di China, di sini hari ini.

Beliau berkata, pelabur China berminat datang ke Malaysia atas pelbagai sebab, termasuk keadaan pelaburan di negara ini dan kedudukannya sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN.

“Mereka juga telah menunjukkan minat untuk mempelbagaikan lokasi kemudahan mereka dalam negara ini disebabkan oleh perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang berlarutan,” jelasnya.

Pada separuh pertama 2019, Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM92 bilion dalam perkhidmatan pembuatan dan sektor utama, peningkatan 7.6 peratus berbanding RM85.5 bilion yang didaftarkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Sumber pelaburan asing yang utama ialah Amerika Syarikat dengan pelaburan sebanyak RM11.7 bilion, diikuti oleh China (RM4.8 bilion), Singapura (RM3.1 bilion) dan Jepun (RM2.1 bilion).

Ong berkata merupakan perkara biasa untuk sama ada China atau AS menduduki tempat pertama atau kedua sebagai sumber pelaburan Malaysia.

“Saya rasa ia bagus untuk kita mempelbagaikan sumber pelaburan, oleh itu kita mempunyai pelaburan yang datang daripada sektor yang berbeza… ini sesuatu yang dialu-alukan,” katanya.

Sementara itu, syarikat percetakan keselamatan Packtica telah menandatangani MoU dengan Shenzhen Qianhai Quantum untuk pengedaran produk akhir dan pemindahan teknologi di Asia Tenggara. Packtica akan memanfaatkan teknologi rakan kongsinya dalam usaha untuk menyediakan penyelesaian yang menyeluruh kepada pelanggannya.

Pengasas dan Pengarah Urusan Packtica Bryant Kooh berkata perkhidmatan dan produk yang boleh diubah suai mempunyai kecekapan yang tinggi dan boleh digunakan oleh semua segmen pasaran, khususnya pengesahan dan perlindungan produk, ketulenan, pengesanan dan mengenal pasti aktiviti penipuan seperti pemalsuan, import selari serta lambakan harga.

“Kami telah menghasilkan lebih daripada 30 juta keping label kod QR (tindak balas segera) dan label keselamatan tinggi bagi memastikan pelanggan menggunakan produk yang tulen.

“Produk kami memberikan kepuasan yang tinggi dan sangat dihargai oleh pelanggan baharu dan yang lama kerana telah meningkatan jualan dan keuntungan mereka, ekuiti jenama dan kesetiaan pelanggan,” katanya.

Kooh menyatakan bahawa selepas mencapai maklum balas positif, syarikat itu akan membuka cawangan di seluruh negara ASEAN dan akan memulakan proses tawaran awam awal dalam tempoh lima tahun, dengan aktiviti tidak terhad kepada percetakan keselamatan tetapi juga dalam sektor teknologi maklumat dan data.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kenyataan tiada BR1M untuk Melayu pemalas palsu

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 24 MEI: Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming menafikan dakwaan poster yang mempunyai gambar beliau dengan perkataan “Tiada BR1M Untuk Melayu Pemalas”.

Kian Ming dalam kenyataan di laman rasmi facebooknya berkata, poster itu adalah palsu dan beliau tidak pernah berkata sedemikian seperti dituduh dalam grafik berkenaan.

“Ini adalah perbuatan jijik dan nakal oleh pihak tidak bertanggungjawab (laman FB Anak Muda Benci DAP Return) yang berniat memburukkan hubungan kaum di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, kepada pengguna laman sosial yang melihat status berkenaan diminta membuat aduan dan sebarkan supaya lebih ramai mengetahui ia adalah berita palsu.

Beliau turut menegaskan kepada pihak yang cuba memburukkan namanya supaya kritik perlu berasaskan fakta bukan sebaliknya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Ong Kian Ming: SPR cabuli Perlembagaan Persekutuan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 MAC: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) didakwa mencabuli Perlembagaan Persekutuan apabila melakukan persempadanan semula tanpa membabitkan Selangor.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming berkata, SPR didakwa menerbitkan notis untuk mengumumkan paparan pusingan kedua permulaan rasmi untuk menjalankan persempadanan semula 2016.

Katanya, notis itu tidak termasuk Selangor kerana Kerajaan Negeri mencabar proses persempadanan semula itu di Mahkamah Tinggi.

ong-kian-ming“Perkara 113 (6) Perlembagaan Persekutuan menyatakan persempadanan semula adalah bagi ‘negeri Tanah Melayu dan bagi setiap negeri-negeri Sabah dan Sarawak’.

“Langkah itu dipersoalkan dan kemungkinan besar tidak sah daripada segi perlembagaan dan (persempadanan semula) bagi negeri di Malaya tidak boleh dibentangkan di Parlimen tanpa memasukkan Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Kian Ming berkata, keputusan itu menjejaskan keberkecualian SPR dan menunjukkan suruhanjaya itu secara tergesa-gesa melakukan proses persempadanan semula.

Katanya, ia bertentangan dengan amalan yang menyatakan SPR perlu menunggu keputusan Mahkamah Tinggi sebelum mengambil langkah seterusnya.

“Sekiranya keputusan Mahkamah Tinggi memihak kepada Kerajaan Selangor, SPR tidak boleh meneruskan inkuiri awam di Selangor.

“SPR akan terpaksa merayu keputusan itu di Mahkamah Rayuan dan mungkin hingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan keputusan yang menggalakkan.

“Ini akan melambatkan SPR daripada membentangkan persempadanan semula yang lengkap bagi Semenanjung Malaysia kepada perdana menteri untuk kelulusan parlimen,” katanya.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

MCA perlu mohon maaf buat tuduhan melulu

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 OGOS: MCA dituntut memohon maaf kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kerana menuduh beliau serta pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak menghormati penganut agama.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming berkata, MCA juga perlu memohon maaf kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), PKR, DAP dan Ketua Biskop Kuala Lumpur, Julian Leow, yang sebelum ini mendedahkan pihaknya sudah berbincang dengan PBT serta bersetuju gereja di Ladang Brehma, Kajang yang terbengkalai itu dirobohkan.

Katanya, Paderi Julian pada 19 Ogos lalu memberitahu penganut Gereja Holy Family di Kajang bahawa beliau bersetuju membenarkan MPKj meroboh gereja St Joseph itu, yang satu ketika dahulu digunakan pekerja Ladang Brehma.

ong-kian-ming“Maklumat mengenainya boleh diperolehi daripada PBT dan Kerajaan Negeri selain Perseketuan Kristian Malaysia dan gereja Katolik yang terlibat.

“Kenyataan itu tidak bertanggungjawab kerana MCA sepatutnya mendapatkan maklumat sebelum membuat tuduhan. Ketua Paderi Katolik itu sendiri merestui ia dirobohkan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Julian memaklumkan untuk menasihatkan paderi, Surain Durai Raj, yang pernah memimpin gereja itu bagi bekerjasama dan membantu PBT memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Gereja kecil di Jalan Saujana pada asalnya dibina di Ladang Brehma untuk memenuhi keperluan pekerja Katolik di situ.

Ekoran penutupan ladang dan pembangunan di sekitar kawasan tersebut, gereja itu sudah tidak lagi digunakan dan menjadi bangunan tidak sah di rizab jalan.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Ng Chok Sin menuduh MPKj bertindak melulu dan melakukan perobohan di tengah malam tanpa pengetahuan penganut Katolik di situ.

Chok Sin mendakwa Pakatan tidak menjaga hak agama orang bukan Islam dalam isu perobohan gereja terbabit selain menyalahkan Azizah yang merupakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Malaysia perlu cermat, elak hubungan diplomatik retak

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 JUL: Malaysia perlu berhati-hati sebelum mengalu-alukan keputusan Mahkamah Timbang Tara Tetap (PCA) mengenai tuntutan beberapa kawasan di Laut China Selatan antara Filipina dan China.

Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming, berkata sebarang risiko antara kesemua negara itu perlu dikurangkan demi menjaga hubungan perdagangan dan diplomatik yang terjalin sejak sekian lama.

LAUT CHINA SELATAN“Memandangkan kepentingan China sebagai rakan perdagangan dan ekonomi, Malaysia perlu mengurangkan risiko campurtangan China dengan meneruskan rundingan dua hala dalam bidang pertikaian serta berunding untuk penubuhan Kod Teguh Tatalaku (COC) dalam Laut China Selatan antara ASEAN dan China.

“Pilihan menggunakan (mahkamah) timbang tara antarabangsa sebagai satu cara mendapatkan keputusan mengenai bidang pertikaian antara Malaysia dan China di Laut China Selatan perlu digunakan secara strategik dan apabila pilihan lain telah dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan.

Keputusan Mahkamah Tetap Timbang Tara pada semalam (12 Julai 2016) menetapkan beberapa penemuan penting yang berbangkit daripada kawasan dituntut Malaysia dan China di Laut China Selatan.

Antara penemuan itu mendapati bahawa China tidak ada asas undang-undang menuntut hak bersejarah kepada sumber di dalam kawasan laut yang termasuk dalam ‘sembilan garis-dash’.

Sementara memetik laporan BERNAMA, Geostrategis, Prof Dr Azmi Hassan berkata ASEAN perlu berbincang dengan China bagi mempercepat pencapaian Kod Tata Cara (CoC) mengenai Laut China Selatan ketika meningkatnya ketegangan dan kebimbangan keselamatan.

Katanya, keputusan itu sewajarnya menjadi pendorong bagi ASEAN, terutama empat negara pembuat tuntutan yang mendesak China menerima CoC.

Selain Filipina, negara-negara penuntut ASEAN yang lain ialah Brunei, Malaysia dan Vietnam.

-nR-

Categories
NASIONAL

RM10 juta untuk forum, RM817,000 ucapan Arnold Schwarzenegger

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Keputusan Kerajaan Persekutuan membelanjakan RM10 juta kepada BFR Institute Sdn Bhd untuk menganjurkan forum Transformasi Global, pada Oktober ini dianggap terlalu tinggi.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming, berkata jumlah itu turut membabitkan sejumlah bayaran yang dianggarkan US200,000 (RM817,883) kepada bekas Gabenor California yang juga pelakon Hollywood, Arnold Schwarzenegger.

Ong Kian Ming 01“Dalam keadaan biasa, saya menjadi sangsi dengan perbelanjaan RM10 juta oleh Kerajaan Persekutuan untuk menganjurkan forum terutama bayaran tinggi kepada penceramah selebriti.

“Sebagai contoh, Arnold Schwarzenegger mengenakan caj dianggarkan USD200,000 bagi satu ucapan tidak termasuk pembiayaan kos penerbangan dan kos lain,” kata Kian Ming pada sidang media di lobi Dewan Parlimen, di sini, hari ini.

Kian Ming turut melahirkan rasa sangsi sama ada forum berlangsung tiga hari dan menelan perbelanjaan tinggi itu memberi kesan positif terhadap kepentingan negara untuk jangka masa panjang.

Katanya, beliau memperoleh angka itu apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar menjawab soalannya pada Persidangan Dewan Rakyat, baru-baru ini.

-NFN-

Forum : Berapa rakyat perlu bayar untuk 1MDB? BHGN 1

Forum : Berapa rakyat perlu bayar untuk 1MDB?

Forum : Berapa rakyat perlu bayar untuk 1MDB? BHGN 2

Forum : Berapa rakyat perlu bayar untuk 1MDB?

Categories
NASIONAL

Kian Ming tak puas hati siasatan insinerator

Oleh: AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 18 NOV – Penganugerahan projek mini insinerator di negara ini yang didakwa tidak mengalami salah laku terus dipertikai Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming.

Beliau berkata, kenyataan itu tidak boleh diterima memandangkan siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) tahun lalu mengesahkan berlaku kecuaian dalam perkara berkenaan.

Katanya, Kerajaan Persekutuan seharusnya bersikap akauntabiliti dan memberi jawapan kukuh jika benar projek itu mematuhi prosedur tepat.

“Jawapan ini tidak boleh diterima kerana apabila PAC mendapati ada kesalahan dan kecuaian daripada segi penganugerahan, maka pihak kerajaan perlu memberi jawapan.

“Cadangan tindakan yang boleh diambil adalah pihak yang memberi kontrak projek itu perlu disiasat kesalahan mereka atau jika berlaku salah guna kuasa, maka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengambil tindakan,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low yang mengatakan siasatan dakwaan salah urus projek insinerator di negara ini ditutup ekoran siasatan mendapati tiada kes.

Ong Kian Ming 01Terdahulu, Kian Ming meminta Perdana Menteri menyatakan maklumat terkini status siasatan SPRM ke dalam penanugerahan projek mini insinerator di Pulau Pangkor, Pulau Langkawi, Cameron Highlands dan Pulau Tioman.

SPRM membuka kertas siasatan berhubung perkara itu pada Mac lalu selepas kumpulan Anti Insinerator Kebangsaan (GAIK) membuat laporan polis kemungkinan terdapat unsur rasuah dalam projek insinerator yang dianugerahkan kerajaan.

PAC sebelum ini mendapati Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menganugerahkan empat projek pembinaan insinerator kepada syarikat CXN Technology Sdn Bhd (XCNT) tanpa usaha wajar sehingga menyebabkan kelewatan dan ketidakcekapan.

-NFN-

Categories
SELANGOR

DAP cadang Petaling Jaya lokasi percubaan pilihan raya PBT

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 4 FEB: Kerajaan Selangor diharap mampu menjadi medan percubaan penganjuran pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kerana hal itu terkandung dalam manifesto antara DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming berkata, Petaling Jaya mungkin dipilih sebagai kawasan pertama, namun perkara itu masih belum dimuktamadkan dan perlu dibincang di peringkat tertinggi pimpinan Pakatan Rakyat (PR).

logo PBT“Ini bukan isu DAP bertegas untuk melaksanakan atau tidak, tetapi ia adalah isu perundangan dan Pulau Pinang sudah membawa kes berkenaan ke Mahkamah Persekutuan tetapi ditolak.

“Di Selangor, berkemungkinan percubaan pilihan raya PBT akan diadakan di Petaling Jaya tetapi belum ditentukan. Kami harap ia boleh dicuba,” katanya selepas menghadiri Forum Masyarakat Majmuk dan Demokrasi di Malaysia, di sini.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, isu pilihan raya PBT perlu dibincangkan terlebih dahulu oleh kepimpinan PR untuk memastikan jika pelaksanaan undi ketiga mampu menjadi penyelesaian kepada masalah dihadapi.

Ong Kian Ming 01Cadangan untuk mengadakan pilihan raya PBT di Selangor bukan perkara baru selepas Mohamed Azmin pernah mengumumkannya beberapa tahun lalu.

Isu pilihan raya PBT mendapat perhatian selepas PAS dan DAP berselisih pendapat berkenaan isu terbabit apabila DAP mahu pilihan raya itu dikembalikan.

-NFN-