Categories
NASIONAL

Saman terhadap Papagomo, pengajaran buat kroni Umno

Oleh: AFIX REDZUAN

SUBANG JAYA, 23 JUN: Keputusan mahkamah yang memerintahkan pengendali blog, Papagomo membayar ganti rugi terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjumlah RM800,000 perlu dijadikan pengajaran kepada semua supaya berhati-hati dalam berkongsi paparan kandungan berita di laman sosial dan blog.

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh, berkata setiap pemilik akaun laman sosial dan blog perlu bertanggungjawab terhadap kandungan berita yang dikongsi serta memastikan ia daripada sumber yang benar.

“Di Malaysia, kita ada kebebasan bersuara yang membolehkan berkongsi di Facebook dan Twitter. Tetapi kena bertanggungjawab dan pastikan kandungannya benar kerana kalau sebaliknya yang dilaporkan, maka orang akan bawa kita ke mahkamah.

grafik papagomo“Saya berharap tindakan mahkamah terhadap Papagomo ini boleh dijadikan pengajaran kepada semua untuk lebih bertanggungjawab.

“Jika tidak, fitnah ini sangat berat dan membawa kepada implikasi besar dalam politik,” katanya ketika ditemui Selangor Kini, di sini, semalam.

Hannah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya berkata, beliau secara peribadi juga turut berhadapan dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang memetik beberapa ayat kononnya disebut beliau tetapi tidak benar.

“Saya pernah membuat laporan polis, namun masih belum ada tindakan terhadap individu yang menyebarkan gambar bersama petikan kenyataan itu.

hannahyeoh“Penduduk dan rakyat Selangor perlu berfikir sama ada benar atau tidak dan mengesahkan perkara itu kerana kini terlalu mudah meletakkan gambar seseorang serta perkataan yang tidak disebut kemudian disebarkan,” katanya.

Pada 28 Februari lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Rosilah Yop memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar ganti rugi RM800,000 dan kos RM50,000 kepada Anwar berhubung penyiaran perkataan fitnah dan meletak imej mengaitkan beliau dalam video seks di blog Papa Gomo.

Dalam penghakimannya, Rosilah berkata, beliau mendapati Wan Muhammad Azri adalah blogger Papa Gomo dan menerbitkan kenyataan memfitnah dalam blognya daripada keterangan yang dikemukakan.

Anwar memfailkan saman terhadap Wan Muhamamad Azri pada 21 Mac 2013 dengan menuntut ganti rugi berjumlah RM100 juta kerana mendakwanya menyiarkan empat siri perkataan fitnah di laman blog berkenaan pada 16, 17, 19 dan 20 Mac 2013.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.