Categories
SELANGOR

Letak 20 pam di 9 kolam, persediaan Selangor hadapi El Nino

SHAH ALAM, 25 JUN: Sebanyak 20 pam di sembilan kolam sumber air diletakkan sebagai langkah persediaan Kerajaan Negeri dalam menghadapi fenomena El Nino yang dijangka berlarutan hingga September ini.

Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata Kerajaan Negeri melalui koordinator Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengarahkan pengepaman keluar air ke Sungai Selangor dan empangan sejak seminggu lalu berdasarkan keperluan meningkat dan keadaan cuaca yang mendesak.

Lawatan YB Empangan Sg. Sel_3Katanya, pengeluaran awal adalah sekitar 400 juta liter sehari (JLH) kemudian meningkat kepada 650 JLH dan perkiraan kapasiti adalah bergantung pada paras air di sungai atau empangan.

“Untuk air yang dipam keluar ke empangan mengambil masa sekitar 20 jam untuk sampai. Maksimum pengepaman air boleh mencecah kepada 800 JLH, namun setakat ini 650 JLH sudah mencukupi,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.

Sehubungan itu, Yunus berkata, ketika ini bekalan yang ada dijamin mencukupi untuk tempoh empat hingga lima bulan lagi.

“Jadi, rakyat tidak perlu bimbang jika kapasiti yang ada sekarang ini tidak cukup, kita akan tingkatkan lagi,” katanya.

Dalam laman sesawang LUAS, bagi tiga minggu pada bulan ini tidak menunjukkan kenaikan paras empangan kecuali Empangan Semenyih dengan kadar sekitar satu hingga tiga peratus sahaja.

yunusBagaimanapun, lima empangan iaitu Batu, Klang Gates, Langat, Sungai Selangor dan Tasek Subang menyaksikan penurunan bagi tiga minggu iaitu satu hingga empat peratus.

Manakala, bagi empangan Sungai Tinggi pula, pada minggu pertama bacaan dicatatkan sekitar 70.93 peratus tetapi turun ke paras lebih rendah dari minggu pertama iaitu 68.93 peratus.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri menggunakan air lombong bagi menyelesaikan catuan air yang berlaku pada Februari lalu dengan mengalirkan air lombong ke sungai.

Leave a Reply

Your email address will not be published.