Categories
NASIONAL

Sistem baru subsidi bahan bakal tambah derita rakyat

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 3 JUN: Barisan Nasional (BN) digesa supaya membentangkan segala butiran berhubung sistem baru subsidi petrol dan diesel yang diwar-warkan selain membahaskannya di Parlimen sebelum sebarang keputusan diambil.

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, berkata ia bagi memastikan keputusan yang bakal dilaksanakan itu tidak memberi kesan mendalam kepada rakyat di negara ini.

Katanya, sebarang perubahan drastik terhadap harga petrol dan diesel pasti memberi kesan berganda kepada harga barang terutama rakyat kini berdepan pelbagai kenaikan barangan dengan tangga gaji masih belum berjaya dilonjakkan.

Rafizi1-179x300“Rakyat perlu diberi masa yang cukup sekurang-kurangnya satu tahun untuk memberi pandangan sebelum sistem baru subsidi petrol dan diesel ini berkuatkuasa dengan mengambil kira kesusahan yang dialami rakyat akibat kenaikan harga petrol, elektrik, gula dan barangan keperluan lain.

“Saya kerap kali memberi amaran kepada BN supaya sebarang keputusan yang membabitkan kebajikan rakyat perlu dibincangkan dan mengambil pandangan umum supaya keputusan itu tidak membelakangkan hasrat rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, kemungkinan wujudnya pasaran gelap petrol dan diesel jika sistem baru subsidi itu tidak diperhalusi serta dibincangkan secara terbuka.

Katanya, tindakan itu sudah tentu akan menimbulkan masalah baru yang lebih besar daripada penyeludupan sedia ada kerana membabitkan lebih ramai orang dan rakyat biasa.

“Jika ini berlaku, kumpulan yang dibenarkan membeli petrol dan diesel pada harga subsidi boleh membeli secara kerap dan menyimpannya kemudian menjual kepada ejen pasaran gelap pada harga yang lebih tinggi.

20petrol_m_m“Ejen pasaran gelap ini kemudian menjual petrol dan diesel ini pada harga yang lebih rendah daripada harga pasaran kepada syarikat, pengusaha atau orang persendirian yang mahu mendapatkan harga rendah.

“Ini sudah tentu tidak berbaloi apabila dibandingkan dengan kepayahan yang dihadapi rakyat akibat kenaikan harga bahan api serta kesan kenaikan berganda kepada harga barang, sedangkan ketirisan subsidi petrol dan diesel yang dijadikan alasan untuk menukar sistem makin berleluasa,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan bahawa kerajaan BN kini sedang memuktamadkan satu sistem subsidi baru petrol dan diesel untuk golongan tertentu mengikut kadar pendapatan.

Setakat ini, laporan menyebut jumlah pendapatan yang dipertimbangkan adalah RM5,000 ke bawah, manakala individu berpendapatan lebih RM10,000 sebulan perlu membeli pada harga pasaran.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.