Categories
SELANGOR

SRA KAFA Integrasi Masjid Al-Firdaus RM4juta siap 2016

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SELAYANG, 16 JUN: Pelajar Sekolah Agama Rakyat (Kafa) Intergrasi Masjid Al-Firdaus, Bandar Baru Selayang yang kini menumpang bangunan Masjid Al-Firdaus bakal menikmati suasana pembelajaran lebih selesa apabila bangunan baru sekolah itu siap nanti.

Pembinaan bangunan baru tiga tingkat yang menelan belanja keseluruhan kira-kira RM4 juta daripada sumbangan orang ramai itu dijangka siap sepenuhnya pada awal 2016 dan mampu menampung seramai 1,200 pelajar pada suatu masa.

SRA KAFAKetua Pegawai Eksekutif (CEO) Al-Firdaus Infaq, Naziff Mokhtar berkata pembinaan bangunan baru dijalankan dalam tiga fasa itu diperlukan bagi menampung pertambahan permintaan para ibu bapa yang mahu mendaftarkan anak mereka bersekolah di sini.

“Pada masa ini kita menggunakan tingkat ‘mezzanine’ sebagai kelas memang dah tak mampu menampung 125 pelajar yang kita ada sebab setiap tahun meningkat. Ramai ibu bapa terpaksa hantar anak ke tempat lebih jauh.

“Apabila siap fasa pertama yang menelan belanja RM1.3 juta ini nanti boleh menampung 500 pelajar dalam 12 kelas dan selepas itu kita adakan pembangunan akan datang dalam fasa kedua dan ketiga tetapi bergantung kepada kewangan yang ada.

“Kita akan memperolehi sumber kewangan sebab sejak Al-Firdaus Infaq ditubuhkan pada 1 Mac lalu kita dah kumpul kira-kira RM300 ribu dan bila asas bangunan dah dinaikkan saya yakin lebih ramai lagi tampil hulurkan sumbangan,” kata Naziff kepada media dalam Majlis Pecah Tanah Fasa 1 Sekolah Agama Rakyat (Kafa) Integrasi Masjid Al-Firdaus Bandar Baru Selayang di sini.

Majlis pecah tanah itu dirasmikan oleh Exco Hal Ehwal Agama, Sallehen Mukhyi.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan mereka bagi pembinaan sekolah ini menerusi akaun bernombor 140690 1001 8556, Bank Islam Malaysia Bhd atas nama Masjid Al Firdaus Bandar Baru Selayang atau May Bank Bhd nombor akaun 5625 0851 3555 atas nama Al-Firdaus Infaq.

Al-Firdaus Infaq merupakan badan pemegang amanah yang ditubuhkan bagi mengumpulkan dan menguruskan sumbangan orang ramai bagi menjayakan pembinaan masjid ini.

Orang ramai juga boleh mengikuti perkembangan pembinaan masjid ini menerusi laman web rasmi Masjid Al-Firdaus, www.masjidfirdausbbs.org.

KAFASementara itu bapa pelajar Sekolah Agama Kafa Intergrasi Masjid Al-Firdaus, Mohd Helmi Abu Bakar, 40, berkata, kesungguhan Ahli Jawatankuasa Masjid Al-Firdaus merealisasi pembinaan ini membuktikan kesungguhan mereka dalam melahirkan generasi muda yang memiliki pengetahuan agama secukupnya.

“Dengan adanya bangunan lebih selesa, murid lebih fokus kepada pembelajaran. Para jemaah juga tidak terganggu dengan bising murid-murid,” kata Mohd Helmi ketika ditemui Selangor Kini.

Nazir Masjid Al-Firdaus, Yaakob Md Ali pula berkata, beliau kagum komited yang ditunjukkan masyarakat Islam di Bandar Baru Selayang dalam menjayakan pembinaan sekolah ini.

“Ribuan terima kasih kepada para jemaah dan qariah yang sudi menyumbang dan juga Ahli Lembaga Pengarah Al-Firdaus Infaq yang bertungkus lumus. Kami berharap lebih ramai lagi yang sudi tampil menghulurkan sumbangan,” kata beliau.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.