Categories
SELANGOR

Sultan Selangor titah isu BSM dirujuk kepada pendakwa raya

SHAH ALAM 19 JUN: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) supaya merujuk isu Bible yang diambil kepada pihak pendakwa raya.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Baginda Sultan bertitah supaya isu melibatkan Bible yang ambil daripada Pertubuhan Bible Malaysia (BSM) itu diselesaikan menerusi proses mahkamah.

Jais-logo kecik“JAIS perlu segera merujuk perkara ini kepada pihak pendakwa raya untuk tujuan rujukan di mahkamah.

“Tindakan ini perlu dilakukan demi menjaga kedaulatan undang-undang dan sensitiviti kedua-dua belah pihak yang terlibat,” kata Mohamad Munir dalam kenyataannya.

Mohamad Munir juga berkata Baginda Sultan mahu pertikaian sama ada memulangkan atau untuk melupuskan barang kes boleh diputuskan di mahkamah.

“Prosedur undang-undang menetapkan pelupusan barang kes yang dirampas semasa serbuan dan siasatan boleh dirujuk oleh pihak pendakwa raya kepada mahkamah bagi mendapatkan satu perintah sama ada perintah pelupusan atau perintah pemulangan,” kata kenyataan itu lagi.

Semalam, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menghadap Sultan Selangor di istana bagi mengemukakan cadangan pemulangan semula Bible kepada PBM.

Bagaimanapun, Abdul Khalid selepas pertemuan berkata keputusan penuh akan diketahui pada Isnin depan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.