Categories
NASIONAL

Ugut Ketua Pengawas Pemilihan, 3 ahli PKR dipecat

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 JUN: Tiga ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dipecat serta-merta atas kesalahan tatatertib dan disiplin anggota membabitkan kes ugutan.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong dalam kenyataan medianya, berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Biro Politik parti itu yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pada 10 Jun lalu.

“Lembaga Disiplin PKR meneliti dan mengadakan siasatan berkenaan beberapa kes berkenaan tatatertib serta disiplin anggota.

Pemilihan 2014“Kes ini sudah dibentangkan dalam mesyuarat Biro Politik bertarikh 10 Jun lalu yang dipengerusikan Dr Wan Azizah dan dihadiri anggota biro,” katanya.

Mereka yang dipecat adalah ahli cabang Hulu Selangor, K Gunasekaran yang didapati bersalah mengetuai sekumpulan 10 orang mengugut Ketua Pengawas Pemilihan cabang berkenaan, pada 11 Mei lalu.

Turut dipecat Md Nasib Rahim dari Cabang Bagan Serai atas tuduhan membuat kenyataan media mengkritik parti secara terbuka dalam akhbar Sinar Harian bertajuk ‘Desak Azmin, Kwee Keong letak jawatan’ pada 19 Mei lalu.

Md Nasib sebelumnya sedang menjalani tempoh penggantungan keanggotaan selama tiga tahun sehingga 14 April 2016 tetapi mengingkari arahan surat penggantungan dengan mengkritik parti di media.

Seorang lagi ahli yang dipecat adalah Ibrahim Mahidin dari Cabang Kuala Selangor atas dakwaan menjalankan aktiviti politik wang.

Kongres PKR 01Pemecatan ke atas Ibrahim dikenakan selepas beliau tidak hadir dalam sesi pendengaran kes yang dihadapinya itu, pada 23 Mei lalu.

Manakala Monniza atau Sarimah Abdul Ghani dari Cabang Kampar pula digantung keahlian selama setahun apabila membuat kenyataan media yang dilaporkan akhbar Berita Harian, pada 12 Mei lalu.

Sementara itu, S Manikavasagam dan V Bobinath dari Cabang Kuala Selangor diberikan amaran keras dan penggantungannya ditarik semula selepas beliau memberi penjelasan berkenaan tindakannya membuat kenyataan kepada media, pada 11 Mei lalu.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.